MIRI, 14 Nov: Stesen minyak Petronas Lutong telah mengadakan latihan kebakaran sebagai usaha untuk meningkatkan kesiapsiagaan kakitangan stesen dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan.
Latihan ini melibatkan penyertaan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lutong serta beberapa pasukan khas, termasuk pasukan pemadam api, pasukan komunikasi, pasukan lalu lintas dan pasukan pertolongan cemas yang diatur oleh pihak Petronas.
Menurut Komander Latihan, Saldina Abdul Sallam, tujuan utama latihan ini adalah untuk memastikan semua krew Petronas Lutong lebih peka dan bersedia menghadapi situasi kecemasan sebenar.
Beliau juga menambah bahawa latihan ini adalah yang pertama kali diadakan dan berharap ia dapat dijadikan amalan berterusan demi keselamatan semua pihak.
“Latihan ini memberi peluang kepada krew kami untuk memahami peranan dan tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Saldina turut memuji kecekapan Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Henry Jugah yang bersama anggota tiba dengan segera di lokasi latihan.
Henry, dalam kenyataannya, memaklumkan bahawa panggilan kecemasan diterima sekitar jam 10 pagi mengenai kebakaran di bilik elektrik dengan laporan terdapat mangsa terperangkap.
Namun, sebaik tiba di lokasi, pihak bomba mendapati bahawa kejadian tersebut merupakan latihan kecemasan.
“Latihan sebegini amat penting untuk memastikan kita sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini,” kata Henry.
Beliau juga menggalakkan penduduk kampung serta pihak pengurusan bangunan kerajaan dan swasta untuk menjemput pihak bomba mengadakan latihan kecemasan di premis mereka.
Setibanya pihak bomba di lokasi, krew Petronas memaklumkan bahawa api telah dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan tindak balas kecemasan (ERT) stesen minyak tersebut menggunakan alat pemadam api jenis karbon dioksida.