KUCHING, 14 Nov: Seramai 50 penggiat sastera tempatan bakal berhimpun pada Pertemuan Karyawan Sarawak ke-13 di Hotel Waterfront di sini, pada hujung minggu ini.
Penggiat sastera terkemuka Sarawak yang dijangka hadir antaranya Sasterawan Negeri Sarawak, Jong Chian Lai dan novelis, Radzemah Bolhasan serta yang lain.
Program bermula 16 hingga 17 November itu dianjurkan bersama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) dan Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak dan GAPENA.
Bertemakan ‘Pemerkasaan Kepengarangan Melalui Sayembara’ antara inti pati menarik adalah sesi bual bicara Bicara Orang Muda (BOM) – Penulis Sayembara atau Menulis untuk Karya? yang bakal menghiasi program pada hari pertama.
Menurut satu hantaran Facebook PEKASA, sesi perbincangan – Suara Karyawan Veteran (SKV) berkaitan keinginan penulis mendepani pengkaryaan turut diperdengarkan pada hari kedua.
Seusai itu, majlis penangguhan PKS ke-13 turut diadakan pada Ahad kelak.