KUCHING, 14 Nov: Kerajaan perlu merangka pelan struktur dan pelancongan daerah Lundu untuk tempoh jangka panjang bagi merealiasikan hasrat menjadikan kawasan itu sebagai hab pelancongan di Sarawak.
Mendedahkan perkara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Anuar Adenan berkata pelan induk pelancongan sedia ada telah dibangunkan lima tahun lalu bagi tempoh 2014 hingga 2018.
“Saya berharap agar kerajaan negeri, melalui Unit Perancangan Ekonomi (EPU), dapat merangka Pelan Struktur & Pelancongan Daerah Lundu yang baharu.
“Pelan ini perlu disiapkan agar kita dapat merancang projek dan tapak-tapak dengan lebih baik serta membangunkannya secara mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (2024) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Khamis.
Dalam ucapan sama, beliau turut memaklumkan bahawa daerah Lundu memerlukan Projek Pembangunan Bandar bagi memacu pembangunan kawasan.
Ia susulan peningkatan populasi di daerah itu telah menyebabkan kesesakan dan penempatan tidak terancang.
“Diharapkan kerajaan dapat melaksanakan projek pembangunan bandar komprehensif yang boleh diinspirasikan daripada projek Darul Hana atau yang seumpamanya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kawasan sekitar Batang Kayan berisiko tinggi terhadap hakisan tanah yang membahayakan keselamatan penduduk.
Berdasarkan kajian bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pemindahan dengan pampasan adalah pilihan terbaik kerana lebih murah berbanding pembinaan tembok penahan.
“Dengan perbincangan lanjut, penduduk bersedia untuk berpindah jika syarat yang sesuai ditetapkan dapat dipenuhi,” katanya. -TVS