KUCHING, 14 Nov: Peruntukan sebanyak RM1.42 bilion untuk Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dalam Belanjawan Sarawak 2025 disifatkan sebagai langkah ke hadapan dalam memperkasakan pengangkutan awam di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, KUTS dijangka akan meningkatkan keterhubungan dan memenuhi sasaran kestabilan alam sekitar melalui penggunaan hidrogen sebagai bahan api.
Jelas beliau, hidrogen sebagai bahan api utama, bukan sahaja akan menyumbang kepada pertumbuhan tenaga baharu malah turut mengurangkan pelepasan karbon.
“Ini adalah sebahagian daripada komitmen Sarawak untuk memacu mobiliti hijau dan menyokong usaha global bagi mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050, “katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Tambah beliau, seluruh dunia sedang berusaha memperkenalkan polisi bagi bahan api alternatif dan Sarawak telah merangka pelan untuk menjadi hab pengeluaran hidrogen hijau yang dihasilkan melalui tenaga boleh diperbaharui.
“Sarawak akan terus berusaha menggunakan tenaga hijau sebagai bahan api alternatif untuk pengangkutan awam. Marilah kita fikirkan kepentingan jangka panjang demi kemajuan dan kemakmuran Sarawak,” katanya.-TVS