KUCHING, 14 Nov: Kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak perlu sentiasa menjaga kesihatan mental dan fizikal anggota bagi memastikan mutu perkhidmatan berada pada tahap tertinggi.
Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak Dato Mancha Ata berkata, selain daripada program sukan dan riadah, aktiviti keagamaan serta kerohanian harus dititikberatkan sebagai langkah menjaga kesihatan mental akibat tekanan di tempat kerja.
Menurutnya, semua peringkat merangkumi ketua jabatan, ketua polis daerah dan semua peringkat penyelia perlu lebih peka serta prihatin terhadap sebarang perubahan tingkah laku atau psikologi dialami anggota di bawah jagaan mereka.
“Selain daripada program sukan dan riadah, program keagamaan dan kerohanian juga perlu dititikberatkan untuk menjaga kesihatan mental akibat tekanan di tempat kerja kerana kesihatan mental amat subjektif, luas dan merangkumi pelbagai aspek yang boleh mеmbаbitkan sesiapa sahaja.
“Saya menyarankan agar semua peringkat ketua jabatan, ketua polis daerah dan semua peringkat penyelia lebih peka dan prihatin terhadap sebarang perubahan tingkah laku dan psikologi yang dialami oleh pegawai di bawah jagaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di perkarangan kawad Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak di Kuching pada Khamis.
Mancha berkata, pengurusan kaunseling yang berkesan perlu dimanfaatkan agar membantu seseorang pegawai daripada terjerumus dalam pelbagai masalah peribadi, kerjaya, keluarga dan hubungan interpersonal selain mampu membantu mereka meningkatkan pembangunan diri mencapai tahap kefungsian psikologi yang tinggi.
Menurutnya, keadaan kesihatan mental yang baik akan menghasilkan fizikal lebih kuat dan bertenaga termasuk menjamin kualiti kehidupan lebih sempurna dalam kalangan warga PDRM Kontinjen Sarawak. – TVS