Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. Foto TVS

KBS sasar tambah bilangan pakar psikologi sukan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 14 Nov: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat untuk menambah bilangan pakar psikologi sukan dalam usaha membantu persediaan atlet menghadapi Sukan Olimpik dan Paralimpik 2028 di Los Angeles.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Institut Sukan Negara (ISN) pada masa ini hanya mempunyai tujuh pakar psikologi sukan, jumlah ini tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan kesihatan mental atlet semasa pertandingan utama termasuk Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini.

“Bagi setiap 10 atlet, perlu ada dua pakar psikologi sukan. Buat masa ini, kami hanya mempunyai tujuh untuk program Podium dan Pelapis, bermakna masih tidak mencukupi bagi menyokong kesejahteraan mental atlet,” katanya pada sidang media selepas sesi bedah siasat prestasi Sukan Olimpik dan Paralimpik 2024 di sini hari ini.

Sesi itu dihadiri wakil daripada Majlis Sukan Negara (MSN), ISN, Kementerian Kewangan, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia serta pakar dari Universiti Sains Sukan Nippon, Universiti Malaya dan Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk memberikan pandangan tambahan.

Hannah berkata walaupun sesetengah pakar psikologi sukan dikhususkan untuk atlet berpotensi tinggi yang menyasarkan melangkah ke separuh akhir, yang lain rermasuk mereka yang bekerja dengan atlet para sering terlepas pandang.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan sama ada pakar psikologi sukan sedia ada mempunyai kelengkapan mencukupi untuk menyokong atlet para yang kurang upaya intelek semasa temasya itu.

Sementara itu, antara isu lain yang dibangkitkan adalah mengenai keperluan untuk program pembangunan yang lebih berstruktur, analisis prestasi atlet yang lebih terperinci dan peralatan khusus untuk atlet para.

Sehubungan itu, Hannah meminta MSN untuk mengumpulkan semua laporan, isu-isu yang timbul dan cadangan penambahbaikan yang dibentangkan semasa sesi bedah siasat berkenaan.

Beliau berkata panel pakar juga diminta mengemukakan laporan pemerhatian daripada kedua-dua sesi bedah siasat serta cadangan penambahbaikan untuk dibincangkan di peringkat pengurusan MSN dan kementeriannya.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata badminton dan berbasikal, sukan yang dianggap harapan utama untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik yang masih belum dicapai, telah mengemukakan permohonan maaf kerana gagal melaksanakan impian itu di Paris.

Kontinjen Olimpik Malaysia menamatkan cabaran mereka di Paris 2024 dengan dua pingat gangsa yang dimenangi pasangan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia.

Kontinjen Paralimpik Malaysia sebaliknya gagal mencapai sasaran empat pingat emas apabila sekadar pulang dengan dua emas, dua perak dan satu gangsa. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan