KUCHING, 14 Nov: Tiada bayaran ganti rugi akan dibuat kepada pengguna untuk kerosakan peralatan elektrik disebabkan gangguan bekalan elektrik.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, rayuan ganti rugi boleh dibuat dengan mengemukakan surat kepada Sarawak Energy dan siasatan akan dibuat selepas menerima dokumen tersebut.
“Rayuan ganti rugi termasuklah menyertakan salinan laporan polis, bukti gambar kerosakan dan resit pembaikan peralatan.
“Sejak tahun 2019 sehingga kini, sebanyak 191 tuntutan ganti rugi telah diterima dan sejumlah RM800,000 melibatkan 106 tuntutan ganti rugi telah dibayar setakat ini,” katanya bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Chee Kadir bertanya mengenai prosedur dan tuntutan ganti rugi bagi kerosakan peralatan elektrik akibat insiden terputus bekalan elektrik di kawasannya.
Menurut Dr. Abdul Rahman, punca gangguan bekalan elektrik di Kabong disebabkan faktor luaran yang menyebabkan kerosakan talian grid.
“Faktor luaran yang menyumbang kepada gangguan bekalan elektrik ialah cuaca buruk, banjir kilat, tanah runtuh, tiang patah, kerja penggalian tanah oleh pihak kontraktor, pokok tumbang dan gangguan sementara oleh hidupan liar atau sentuhan dahan pokok di bawah serta berdekatan dengan talian,” ujarnya. – TVS