KUALA LUMPUR, 14 Nov: Isu Fashion Valet tidak akan menjejaskan keinginan Khazanah Nasional (Khazanah) untuk terus melabur dalam syarikat pemula tempatan berasaskan prinsip modal teroka (VC).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, segmen pelaburan berkenaan kekal menjadi mandat Khazanah bagi menyokong ekosistem syarikat pemula.
Bagaimanapun jelas beliau, pelaburan yang akan dilakukan perlu melalui proses tambah baik mekanisme kawalan.
“Khazanah telah menyediakan Dana Impak dengan tujuan untuk melabur bagi meningkatkan daya saing ekonomi dan membina daya tahan negara, sambil menghasilkan manfaat dan impak sosioekonomi kepada rakyat terutamanya untuk syarikat pemula dan modal teroka.
“Antara inisiatif Khazanah untuk tujuan tersebut adalah menerusi Penubuhan Jelawang Capital sebagai sebuah ‘national fund-offunds’ dengan komitmen RM1 bilion untuk memacu pertumbuhan ekosistem modal teroka Malaysia seperti yang dinyatakan dalam ucapan Belanjawan 2025,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Dewan Rakyat: Menteri sahkan pelaku kes buli di ALK – UPNM ditamatkan pengajian
Amir Hamzah menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (Pakatan Harapan – Bukit Bendera) yang ingin tahu sekiranya Khazanah tidak akan melabur dalam syarikat pemula atau terdapat strategi yang berbeza dalam industri tersebut susulan isu kegagalan Fashion Valet.
Menjawab soalan asal berkenaan faktor-faktor kegagalan syarikat tersebut, Amir Hamzah berkata, ketika dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu menilai Fashion Valet untuk potensi pelaburan pada 2017, syarikat itu mempunyai lebih daripada 400 jenama dan 15,000 produk dengan hasil perniagaan pada hampir RM60 juta.
“(Syarikat itu juga) merekodkan kadar pertumbuhan tahunan sejak 2013 lebih 100 peratus.
‘Pelaburan oleh Khazanah dan PNB dalam Fashion Valet dibuat setelah melalui proses penilaian terperinci dan ketekunan wajar dan dilaksanakan pada nilai pasaran yang mencerminkan trajektori pertumbuhan Fashion Valet yang kukuh pada masa itu,” katanya.
Jelas Amir Hamzah, kegagalan Fashion Valet boleh dikaitkan dengan faktor-faktor yang di luar jangkaan seperti implikasi COVID-19.
“Ketika Fashion Valet ingin mencapai aspirasi untuk menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran, ia telah menambah bilangan kedai fizikal secara pesat namun Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan semasa pandemik telah menghalang perniagaan fizikal Fashion Valet dan mengakibatkan pasaran untuk pakaian premium, termasuk tudung, merosot dengan ketara,” katanya.
Sementara itu Amir Hamzah memaklumkan, pelaburan VC bersifat tiada kepastian dan berisiko namun sekiranya berjaya, akan berpotensi menjana keuntungan yang tinggi.
“Sebagai contoh, pelaburan Khazanah di dalam perniagaan tenusu tempatan, Farm Fresh Berhad, merupakan sebahagian daripada pelaburan modal teroka yang memberi pulangan lebih daripada 13 kali ganda, iaitu nilai melebihi RM800 juta,” katanya. -TVS.