KUALA LUMPUR, 14 Nov: Penggunaan teknologi kecerdasaan buatan (AI) dalam sistem perundangan negara dilihat tidak akan menggantikan fungsi manusia sepenuhnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana dalam aspek tanggungjawab dan etika, ia masih memerlukan penglibatan manusia.
Kata beliau, teknologi AI diakui dapat membuat bacaan dengan cepat namun kes yang memerlukan keputusan hakim terutamanya melibatkan budi bicara, tidak dapat diambil alih oleh AI.
“(Penggunaan AI) hari ini (pada) pandangan (saya mungkin boleh digunakan untuk) kes tuntutan kecil seperti trafik dan bankrup (namun) perlepasan masih pada manusia kerana (AI) tertakluk kepada data yang telah (disediakan) namun kita tidak dapat nafikan, penggunaan AI mengurangkan kesilapan serta kos lebih murah,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Azalina menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Perikatan Nasional – Besut) yang ingin tahu sejauh mana teknologi AI akan memberi kesan kepada profesion guaman serta perancangan kerajaan untuk mengawal perkara – perkara berkenaan.
Sementara itu ketika menjawal soalan asal Syahredzan Johan (Pakatan Harapan – Bangi) sama ada kerajaan bersedia menerima pakai AI dalam sektor perundangan negara, Azlina memaklumkan sebuah jawatankuasa bersama di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan telah dibentuk.
Kata beliau jawatan itu akan meneliti penggunaan AI dalam sektor perundangan termasuk mewujudkan prinsip pengguna dalam aplikasi kedaulatan undang-undang dan akses kepada keadilan.
“Jawatankuasa ini diharap dapat menggubal Roadmap to My Digital to Justice. Pemakaian sistem AI di kehakiman negara terhad seperti transkripsi kes dan merakam kes yang sedang berlangsung.
“Apabila melihat penggunaan dalam Roadmap to My Digital to Justice, kita tidak boleh lari dari sistem yang ada pada hari ini namun jawatankuasa yang ditubuhkan ini adalah bertujuan mewujudkan satu garis panduan agar pihak eksekutif dapat bekerjasama,” katanya. -TVS.