KUCHING, 14 Nov: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi mencadangkan agar projek pendaratan hasil minyak dan gas dilaksanakan di Mateding selepas penemuan minyak dan gas baharu di telaga cari gali ‘wildcat’ Sirung-1.
Beliau berkata, Zon Industri Mateding adalah lokasi yang paling strategik untuk penubuhan projek tersebut.
“Saya ingin mencadangkan sekali lagi agar projek pendaratan hasil minyak dan gas di Mateding dilaksanakan. Zon Industri Mateding adalah lokasi yang paling strategik untuk menubuhkan projek ini, yang bukan sahaja akan menguntungkan industri minyak dan gas, tetapi juga memberikan manfaat yang besar kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, projek ini bukan sahaja akan memberikan peluang pekerjaan yang baharu malah akan meningkatkan peluang perniagaan bagi rakyat dan pemain industri di Bahagian Mukah secara amnya.
Beliau juga berharap penubuhan projek di Mateding dapat membantu penduduk memanfaatkan sumber-sumber baharu yang ditawarkan oleh sektor minyak dan gas.
Untuk rekod, sebelum ini penemuan minyak dan gas dilakukan di Telaga Sirung-1 oleh Petronas yang terletak di perairan cetek wilayah Balingian dalam Blok SK405B Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC). -TVS