BUKIT MERTAJAM, 13 Nov: Wanita maut dan seorang lelaki cedera selepas kereta mereka dihempap kontena yang terjatuh daripada sebuah treler di Jalan Bukit Tengah di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.16 pagi itu, mangsa, Lee Zi Rou, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda, Mohd Nor Azamuddin Abdullah berkata, bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu membabitkan lima buah kenderaan iaitu tiga buah kereta sebuah lori dan sebuah treler.
“Terdapat dua mangsa yang tersepit kerana terhempap kontena dari sebuah treler dengan mangsa lelaki berusia 25 tahun berjaya dikeluarkan orang awam dan dibawa ke hospital kerana kecederaan.
“Pemandu wanita tersepit dan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkannya sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pengalihan kontena yang terjatuh dengan menggunakan dua kren sebelum menamatkan operasi berkenaan. – TVS