KUCHING, 13 Nov: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) memperuntukkan sumbangan berjumlah RM2.1 juta bagi membangunkan projek Kolumbarium St Thomas yang dijangka siap pada hujung 2025.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga menteri bertanggungjawab UNIFOR berkata peruntukan terbabit merupakan sebahagian daripada pakej terakhir bernilai RM110 juta yang diperuntukkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi tahun 2024 serta terdapat perancangan tambahan untuk tahun depan.
“Projek kolumbarium ini dianggarkan berjumlah RM8.5 juta dan dijangka siap pada akhir tahun depan, dengan tahap kemajuan kini 60 peratus.
“Kemudahan ini menawarkan 9,000 ruang simpanan abu untuk memenuhi keperluan komuniti Kristian di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek UNIFOR di pejabat beliau di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Sementara itu, Bishop Danald menzahirkan penghargaan kepada UNIFOR bagi merealisasikan projek berkenaan.
“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan ini.
“Setiap sen akan digunakan sepenuhnya untuk pembinaan kolumbarium ini, yang terbuka kepada semua gereja Kristian,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa iolumbarium adalah struktur khas yang dibina untuk menyimpan abu jenazah dalam ruang-ruang kecil yang dipanggil “niche.”
“Kolumbarium biasanya terletak di kawasan perkuburan, gereja, atau bangunan memorial, menyediakan alternatif yang praktikal dan menjimatkan ruang bagi keluarga untuk menghormati dan mengenang orang tersayang dengan teratur dan bermaruah,” tambahnya lagi. – TVS