KUCHING, 13 Nov: Tanjung Manis disahkan sesuai sebagai tapak karbon biru yang lestari selepas pelaksanaan beberapa siri kajian kebolehlaksanaan sejak tahun lepas, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Inisiatif terbabit diperakui kata beliau dengan permeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dan Worldview Climate Solutions (Malaysia) Sdn Bhd hari ini.
“Projek ini direka untuk memulihkan dan memelihara 10,000 hektar hutan bakau, merupakan langkah utama dalam komitmen Sarawak terhadap kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan langsung asing.
“Selain itu, ia bertujuan untuk membangunkan ekosistem karbon biru, menangkap dan memasarkan karbon daripada bakau yang dipulihkan sambil menyokong biodiversiti tempatan dan eko-pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Memorandum Perjanjian (MoA) antara STIDC dan Worldview Climate Solutions (Malaysia) Sdn Bhd berkaitan dengan pelaburan langsung asing ke dalam projek karbon biru di Sarawak di Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.
Awang Tengah berkata, dengan sokongan daripada kerajaan Sarawak dan rakan kongsi, pihaknya yakin projek ini akan menjadi asas kepada pertumbuhan mampan di Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis.
Ujarnya, inisiatif ini mencerminkan dedikasi STIDC dalam memelihara sumber asli untuk generasi akan datang sambil memajukan pembangunan ekonomi di wilayah ini.
Projek karbon biru ini tambahnya akan memberi tumpuan kepada perlindungan alam sekitar, pemulihan ekosistem, dan pembangunan program komuniti yang bertujuan untuk merangsang ekonomi tempatan dan menggalakkan penggunaan tanah yang lestari. – TVS