KUCHING, 13 Nov: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan (MYSED) menyasarkan 300 belia dari seluruh negeri untuk menyertai program Sarawak Youth StartUp (SYS) setiap tahun.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan telah merangka inisiatif komprehensif jangka panjang bagi memperkasakan penglibatan belia dalam keusahawanan.
Selain mewujudkan ekosistem sokongan yang berterusan, SYS juga berperanan memastikan perusahaan yang diterajui belia berjaya berkembang maju dan berdaya saing.
“Sasaran program ini adalah untuk melibatkan kira-kira 300 peserta dari seluruh Sarawak setiap tahun. Semua perbelanjaan berkaitan makan, minum, dan penginapan peserta akan disediakan secara percuma oleh kementerian dan kerajaan.
Para peserta program Sarawak Youth StartUp akan mengikuti kursus intensif selama lapan hari yang merangkumi ilmu asas keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Sarawak Youth StartUp 2024 di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.
Kohort pertama program ini telah mengikuti kursus tersebut pada 7 hingga 14 Disember 2024 di Perkampungan Sukan Sarawak (SSV) Kuching.
Menurutnya program ini dirancang untuk mendedahkan para belia dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi usahawan yang berjaya.
Menurutnya modul program SYS merangkumi pelbagai aspek penting untuk membimbing peserta menjadi usahawan, termasuk perlesenan dan pendaftaran syarikat, pembangunan keyakinan diri, pengurusan pentadbiran syarikat, serta perancangan dan analisis sumber.
Peserta akan mempelajari penghasilan model perniagaan, analisis risiko dan pasaran, penjenamaan, pembungkusan, serta pengesahan produk.
Program ini juga menyediakan maklumat tentang bantuan kewangan dan skim pinjaman dari agensi kerajaan negeri dan persekutuan. – TVS