KUCHING, 13 Nov: Pentadbiran Kerajaan Sarawak di bawah pimipinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari disifatkan jelas dengan visi membangunkan ekonomi negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh memuji langkah berani yang diambil oleh Abang Johari dalam meningkatkan pendapatan negeri sejak beberapa tahun lalu yang kini mengukuhkan kesinambunhan pembangunan Sarawak.
Menurut Soon Koh, penguatkuasaan cukai jualan negeri ke atas produk minyak telah membawa hasil yang signifikan kepada Sarawak sejak 2018.
“Kerana tindakan yang sangat berani dan bijak ini, hasil negeri meningkat sekurang-kurangnya RM3 bilion setiap tahun.
“Dalam tempoh lapan tahun, kita memperoleh lebih RM24 bilion hasil daripada cukai jualan minyak sahaja. Jika tidak kerana usaha beliau, Sarawak mungkin akan kekurangan RM24 bilion untuk pembangunan negeri, ”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Media Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching, hari ini.
Soon Koh menyifatkan strategi Abang Johari dalam penstrukturan semula hasil sebagai usaha untuk memperluaskan sumber pendapatan Sarawak.
“Premier sentiasa mencari jalan untuk menambah baik kutipan hasil negeri. Beliau melihat peluang di mana orang lain mungkin terlepas pandang.”
“Selain daripada cukai jualan negeri, Wong menyatakan bahawa peningkatan pegangan saham negeri dalam loji gas Bintulu turut memberi pulangan besar kepada Sarawak.
“Kita kini memiliki peratusan saham yang lebih besar, yang menjana dividen tahunan sebanyak RM2 bilion. Ini adalah satu lagi sumbangan signifikan daripada Premier,” tambahnya lagi. – TVS