Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan

Kerajaan Sarawak fokus perkasakan industri warisan

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 13 Nov: Kerajaan Sarawak menekankan usaha memperkukuhkan industri kreatif dan warisan negeri untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan pemeliharaan budaya tempatan.

Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, berkata inisiatif ini dilaksanakan melalui pelbagai strategi untuk memperkasakan komuniti tempatan dalam menganjurkan program berasaskan warisan dan mempromosikan budaya tempatan di dalam serta luar negara.

“Bagi makluman Ahli Yang Berhormat bagi Satok, kementerian saya telah melaksanakan beberapa strategi bagi mengukuhkan industri kreatif di Sarawak, dengan tumpuan kepada pemeliharaan budaya, pertumbuhan ekonomi, dan penciptaan pekerjaan,” katanya.

Menurut Snowdan, antara langkah yang diambil untuk memperkukuhkan industri kreatif dan warisan Sarawak termasuk penubuhan Majlis Seni Sarawak (SAC) di bawah Ordinan Majlis Seni Sarawak 2008 dan Majlis Kraf Sarawak (SCC) baharu di bawah Ordinan Majlis Kraf Sarawak 2023.

“Melalui geran tahunan MYSENI berjumlah RM1 juta di bawah SAC, sebanyak 40 permohonan telah diluluskan bernilai RM953,000, yang memberi manfaat kepada sembilan individu, 12 persatuan, lapan komuniti, dan 11 syarikat setakat November tahun ini,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Satok, Dato Ibrahim Baki, pada Persidangan Hari Ketiga Mesyuarat Kedua bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas, di sini, pada Rabu.

Snowdan mendedahkan bahawa hampir separuh daripada acara dalam kalendar pelancongan Sarawak berkaitan dengan warisan budaya, termasuk Pesta Kaul di Mukah, Borneo Cultural Festival di Sibu, Irau Aco Lun Bawang di Lawas, dan banyak lagi.

“Kementerian kami, dengan kerjasama kumpulan tugas pelancongan di peringkat bahagian, melibatkan komuniti setempat dalam merancang dan menganjurkan aktiviti warisan ini.

“Pendekatan ini bukan sahaja memupuk kesedaran budaya tetapi juga memperkasa komuniti tempatan melalui aktiviti pelancongan berasaskan komuniti,” katanya.

Antara lain, beliau memaklumkan, SCC telah menganjurkan program seperti Minggu Kraf dan Bazaar Kraf bagi membantu komuniti tempatan memasarkan produk mereka.

Usaha ini jelasnya diperkukuhkan melalui penyertaan dalam acara seperti Pesta Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), Hari Kraf Kebangsaan, dan Showcase Usahawan Sarawak, yang menyumbang kepada pengenalan produk kraf tempatan ke peringkat tinggi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan