KUCHING, 13 Nov: Kerajaan Persekutuan digesa mengecualikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas kos penghantaran kargo dalam Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, menegaskan Kerajaan Sarawak perlu mendesak kerajaan pusat untuk menilai semula dasar SST dan mempertimbangkan pengecualian cukai ke atas kargo di Sarawak, atau sekurang-kurangnya pengecualian cukai antara perniagaan (B2B) pada setiap peringkat penghantaran.
“Ini bukan soal kemewahan, tetapi keperluan asas dan dasar SST ini, seperti yang ada pada masa ini, tidak mengiktiraf realiti logistik Sarawak dan sebaliknya menghukum rakyat Sarawak dengan kos pendua.
“Adalah penting bahawa Kementerian Kewangan (MOF) memahami impak ini dan menimbang semula struktur cukai ini untuk menyokong keperluan Sarawak,” katanya pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Dasar tersebut katanya perlu mengambil kira landskap logistik Sarawak yang berbeza dengan Semenanjung Malaysia, di mana barangan sering melalui beberapa lapisan penghantaran sebelum sampai kepada pengguna.
Jelasbya, ini kerana kos penghantaran yang tinggi dan berulang kali dikenakan SST akan meningkatkan harga barangan.
Malah turut memberi kesan langsung kepada pengguna akhir, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Saya menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menghapuskan beban cukai yang tidak wajar ini dan mewujudkan laluan ke arah masa depan yang lebih saksama, mampan untuk industri perkapalan Sarawak dan penggunanya,” desaknya lagi. – TVS