JAKARTA, 13 Nov: Indonesia menggesa pembentukan pasukan pengawal pantai ASEAN sebagai usaha menjaga keselamatan perairan di Laut China Selatan (SCS).
Menurut Ketua Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (Bakamla), Laksamana Madya (Laksdya) TNI Irvansyah, inisiatif sedemikian susulan Pengawal Pantai China (CSG) selama ini tidak mematuhi Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) berikutan mereka turut memiliki peta sendiri atau yang dikenali sebagai garis sembilan sempang dan didapati juga bertindih.

Menurut Irvansyah, cadangan ini mungkin menjadi jalan keluar dan penyelesaian apabila tindakan CSG sering menimbulkan perbalahan dengan beberapa negara ASEAN seperti Indonesia, Malaysia, Singapore, Vietnam, Filipina, dan Brunei Darussalam.
“Kami memulakan pembentukan Forum Pengawal Pantai ASEAN dan pada masa ini, kami sedang berusaha mewujudkan Pengawal Pantai ASEAN untuk memastikan keamanan, kestabilan keselamatan, dan keselamatan maritim di perairan Indonesia dan rantau ASEAN,” katanya.
Beliau menegaskan, Pengawal Pantai ASEAN bukan sahaja akan menjadi forum kerjasama tetapi juga akan bertindak untuk latihan bersama, pembinaan kapasiti, perkongsian maklumat dan rondaan terkoordinasi untuk mengamankan kawasan sempadan.
Bagi mengekalkan cadangan itu, Irvansyah memastikan pihaknya terus mengukuhkan kerjasama dan akan berbincang dengan pengawal pantai negara sahabat seperti Pengawal Pantai Filipina, Pengawal Pantai Vietnam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pengawal Pantai Singapura.
Beliau juga berharap inisiatif itu dapat mengukuhkan kerjasama dalam mengekalkan kedaulatan undang-undang di laut dan menggalakkan kestabilan di kawasan yang penting untuk perdagangan dan keselamatan global. -TVS