KUCHING, 13 Nov: Pengarah Jabatan Pendidikan (JPN) Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad, akan bersara wajib mulai esok selepas memegang jawatan tersebut hampir lima tahun.
Beliau pertama kali dilantik pada akhir 2018 hingga Mac 2020, kemudian dilantik semula dari Mac 2022 hingga kini.
Sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai Pengarah JPN Sarawak, beliau telah mencapai pelbagai kejayaan, terutama dalam pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di semua sekolah rendah di Sarawak.
“Jabatan Pendidikan Sarawak adalah satu-satunya jabatan yang diberikan laluan khusus oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) dan kita telah melaksanakannya sejak daripada tahun 2020 dan sekarang kita sudah berada di tahun yang kelima pelaksanaannya.
“Tahun 2026 kelak, kita akan meneruskan program DLP di sekolah-sekolah menengah secara sepenuhnya bagi memastikan anak-anak kita bukan sahaja dapat menguasai ilmu sains dan matematik tetapi juga menguasai Bahasa Inggeris dengan sebaik-baiknya untuk membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih luas pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan kunjungan perpisahan ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Dr Azhar, yang telah mencurah bakti dalam perkhidmatan awam selama 35 tahun, merakamkan penghargaan kepada Abang Johari atas sokongan yang diberikan dalam pembangunan sektor pendidikan di wilayah ini.
Beliau menyifatkan kepimpinan Abang Johari sebagai seorang pemimpin berwawasan dan berpandangan jauh dalam menerajui Kerajaan Sarawak.
“Kita sangat berbangga di atas segala sokongan dan kita sangat beruntung kerana mempunyai seorang pemimpin yang mempunyai wawasan yang begitu jauh untuk pembangunan Sarawak dan sudah tentu kita di Jabatan Pendidikan Sarawak memainkan peranan penting untuk menyediakan sumber manusia yang bersesuaian bagi mengisi pelbagai agenda pembangunan di Sarawak.
“Terima kasih di atas segala sokongan yang telah diberikan kepada pendidikan di Sarawak selama ini dari pelbagai aspek, dari segi pembangunan dan juga pelbagai program yang dilaksanakan oleh Jebatan Pendidikan Sarawak dan juga Kementerian Pendidikan,” katanya lagi.
Ditanya mengenai perancangannya selepas bersara wajib, beliau bersedia untuk berkhidmat dalam menyumbang kemajuan Sarawak khususnya dalam bidang pendidikan. – TVS