KUALA LUMPUR, 13 Nov: Kerajaan tidak berhasrat untuk menangguhkan penguatkuasaan tindakan undang – undang bagi kesalahan jenayah siber susulan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang sedang dilaksanakan.
Timbalan Menteri Komunikasi , Teo Nie Ching berkata sekiranya kerajaan melaksanakan ‘moratorium’, tindakan itu tidak praktikal memandangkan akta sedia ada yang digunakan berjaya menangani kes jenayah dalam talian.
Kata beliau akta itu digunakan dalam penguatkuasaan undang – undang melibatkan kes seorang pemandu lori yang mengaku bersalah (menghantar komunikasi lucah, mengaibkan serta menganggu ibu) seorang pempengaruh media sosial, Esha yang ditemukan mati, tiga bulan lalu.
“Kes itu didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 233 dan akhirnya (tertuduh) penjara selama 12 bulan.
“Seterusnya (kes) Adeline Chang yang didakwa kerana membuat hantaran jelik kepada seorang kanak – kanak berusia lima tahun yang menyebabkan dia akhirnya didenda RM7,000,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Nie Ching menjawab soalan tambahan Kamal Ashaari (Perikatan Nasional – Kuala Krau) mengenai langkah – langkah yang diambil oleh kementerian supaya siasatan pelanggaran akta berkenaan tidak cenderung memihak dan ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk mewujudkan moratorium sebelum pindaan dibentang dan diluluskan di Parlimen.
Sementara itu beliau memaklumkan draf pindaan untuk menambah baik Seksyen 233 akta berkenaan telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara selepas sesi libat urus pada Oktober dan November tahun lalu.
Katanya sesi libat urus juga diadakan bersama Majlis Peguam dan Ahli Parlimen pada 8 Ogos lalu.
Beliau menjawab soalan asal Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Pakatan Harapan – Bandar Kuching) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan pelan kementerian untuk mengkaji dan memperkemaskan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk memastikan skop dan tidak disalahguna. -TVS.