KUALA LUMPUR, 13 Nov: Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak perlu membuat permohonan berhubung cadangan pembinaan jalan raya di kawasan pedalaman wilayah itu.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian itu mengambil maklum keperluan pembinaan jalan baharu di Baram, Hulu Rajang dan Kapit.
Cadangan berkenaan jelas beliau perlu disenaraikan dalam Senarai Keutamaan Negeri Sarawak untuk dimasukkan dalam Rolling Plan (Rancangan Malaysia) akan datang.
“Kementerian seterusnya akan meneliti cadangan projek apabila dipohon oleh kerajaan negeri berdasarkan senarai keutamaan negeri,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Alexaner Nanta menjawab soalan tambahan Datuk Anyi Ngau (Gabungan Parti Sarawak – Baram) yang ingin tahu sama ada kerajaan perlu menyegerakan pembinaan jalan baharu di pedalaman Sarawak berikutan Indonesia telah melaksanakan banyak projek demikian dalam kawasan mereka di sempadan Sarawak.
Mengulas lanjut, Alexander Nanta berkata setiap cadangan akan diberi pertimbangan sewajarnya dan akan diangkat ke agensi pusat sekiranya memenuhi keperluan teknikal.
“(Namun) ia tertakluk kepada agihan pembangunan peruntukan pembangunan Kementerian Kerja Raya (KKR) namun KKR sentiasa terbuka terhadap syor bina jalan baharu berdasarkan permohonan EPU,” katanya.
Sementara itu ketika menjawab soalan asal Anyi, Alexander Nanta berkata, KKR setakat ini tiada perancangan untuk membina jalan baharu dan menaik taraf jalan yang diklasifikasikan sebagai Jalan Keselamatan Sempadan di Sabah dan Sarawak.
Jelas beliau pembangunan Jalan Keselamatan Sempadan di Sabah dan Sarawak merupakan projek yang dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara.
“Majlis Keselamatan Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri sedang merancang untuk membina tembok dan jalan keselamatan bagi tujuan memudahkan rondaan anggota keselamatan.
“Hal ini adalah selaras dengan prinsip yang telah dinyatakan dalam garis panduan Keselamatan dan Pembangunan Sempadan (KESBAN) 2.0,” katanya.
Tambah Alexander Nanta, KKR sedang menjalankan dua projek di Sabah dan Sarawak yang telah mendapat kelulusan kerajaan pusat dalam Rolling Plan Rancangan Malaysia ke-12.
“(Ini termasuk) Kerja Awalan Menaiktaraf FR21 Jalan Serian-Tebedu-Indonesia dengan kos siling RM13 juta. Kerja awalan dijangka selesai pada Disember 2026,” katanya lagi. -TVS.