KUCHING, 12 Nov: Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam usaha perdagangan karbon di Malaysia melalui pelancaran Bursa Carbon Exchange (BCX).
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata ini membolehkan syarikat yang berpangkalan di Sarawak menjual kredit karbon, termasuk sijil tenaga boleh diperbaharui (REC) yang dihasilkan menerusi projek-projek seperti empangan hidro Murum.
Menurutnya, ia memberi peluang kepada syarikat di Sarawak untuk menjana pendapatan menerusi usaha mengurangkan pelepasan karbon, seiring dengan matlamat global dalam mengurangkan pelepasan karbon.
“Sarawak juga menunjukkan kemajuan awal melalui aktiviti lelongan REC dan jalinan kerjasama strategik yang menjanjikan perkembangan lebih lanjut dalam pasaran karbon domestik.
“Selain itu, inisiatif karbon tempatan yang disokong oleh undang-undang mesra alam di Sarawak membolehkan syarikat-syarikat seperti Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan SaraCarbon Sdn Bhd di bawah Samling Group meneroka projek-projek berasaskan penangkapan dan penyimpanan karbon serta pemuliharaan alam sekitar.
“Pendekatan ini mewujudkan ekosistem perdagangan karbon yang kukuh di Sarawak, melengkapkan usaha nasional yang diterajui oleh BCX,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Azizul ingin tahu sejauh manakah BCX berkesan dalam pasaran karbon.
Dr Hazland berkata lagi, Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan cadangan untuk menubuh Pusat Perubahan Iklim Sarawak bagi menyelaras, mengurus dan menyokong perubahan iklim serta pasaran karbon di Sarawak.
Katanya, Sarawak telah menggariskan dua strategi jangka panjang dalam menyepadukan pasaran karbon ke dalam perancangan ekonomi.
“Pasaran karbon dilihat sebagai komponen penting dalam mempelbagaikan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serta peluang baharu merentasi pelbagai sektor. Sebagai contoh, pemaju projek karbon di Sarawak telah menunjukkan minat yang ketara dalam kredit karbon berasaskan alam semula jadi, menandakan peralihan daripada ekonomi ekstraktif tradisional.
“Pasaran karbon berfungsi sebagai alat untuk menggalakkan kewangan mampan dengan menarik pelaburan dan menjadikannya lebih berdaya maju yakni hasil yang dijana daripada penjualan kredit karbon boleh dilaburkan semula ke dalam inisiatif kemampanan selanjutnya serta pembangunan berterusan,” katanya. – TVS