KUCHING, 12 Nov: Sarawak komited memperkasakan konsep pelancongan alam semula jadi atau dikenali sebagai ekopelancongan dalam memberi sokongan terhadap usaha memelihara dan mempromosikan keindahan alam di wilayah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, iniasiatif ini diperkukuhkan lagi dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, khususnya Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).
“Sarawak menawarkan tarikan pelancongan alam semula jadi dan pengembaraan yang tiada tandingan, terutamanya di rantau ini. Sesungguhnya keindahan alam semula jadi kita (Sarawak) adalah aset yang berharga.
“Kita harus berusaha untuk melindungi aset anugerah ini. Saya sangat yakin bahawa Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, khususnya Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini,” katanya.
Berucap ketika membahaskan RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini, jelas Dennis, usaha yang dijalankan ini mampu menawarkan pengalaman pelancongan alam semula jadi dan pengembaraan yang unik yang menjadikannya sebagai destinasi utama pelancongan.
Jelasnya, komitmen ini dapat dibuktikan melalui penyertaan STB dalam mempromosikan keindahan dan pelancongan Sarawak ke peringkat antarabangsa.
“Sarawak telah berjaya menawarkan keindahan alam dengan alam semula jadi yang murni (hutan, sungai dan pelbagai flora dan fauna) serta destinasi pengembaraan yang diminati pelancongan dalam dan luar negara.
“Perkara ini dapat dilihat melalui penyertaan dan usaha berterusan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam mempromosikan negeri kita di World Travel Marts di London dan ITB Berlin serta acara pelancongan lain di seluruh dunia,” katanya.