Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah turun padang dalam Operasi Menyelamat Gelandangan di sekitar Bandaraya Kuching malam tadi. Foto TVS

Peruntukan RM1.8 juta jadi sinar kehidupan golongan gelandangan – Fatimah

KUCHING, 12 Nov: Keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam membantu golongan gelandangan di negeri ini menjadi bukti kepada keseriusan kepimpinan negeri dalam memberi penekanan kepada konsep inklusiviti yang menjadi salah satu tunjang utama Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan tentang peruntukan khas yang akan digunakan bagi membantu golongan gelandangan ini, khasnya dalam membangun dan menyelenggara Tempat Transit Gelandangan (TTG) di negeri ini.

“Alhamdulillah, semasa membentangkan Belanjawan Negeri 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, Premier Sarawak telah memaklumkan bahawa untuk tahun hadapan, sejumlah RM1.8 juta akan diperuntukkan bagi pengoperasian TTG di Bahagian Sibu, Kuching, Miri dan Bintulu,” katanya pada sidang media Operasi Menyelamat Gelandangan di Kuching malam tadi.

Ujar Fatimah, setakat Oktober 2024, terdapat 107 gelandangan telah ditemukan menerusi operasi bersepadu ini, dan pihaknya komited untuk membendung situasi ini daripada menjadi semakin berleluasa.

“Kita telah mula memberi fokus kepada gelandangan ini sejak tahun 2016, di mana pada masa itu, ramai yang memperkatakan tentang isu ini. Menerusi statistik yang kita rekodkan sejak tahun 2016, terdapat 43 gelandangan yang kita temukan dan angka ini meningkat kepada 84 orang pada tahun 2017. Seterusnya angka ini menurun semula kepada 34 orang pada tahun 2018,” ujarnya.

“Tahun 2022 pula, jumlah gelandangan yang diselamatkan adalah seramai 89 orang, sementara pada tahun 2023 pula terdapat 93 gelandangan berjaya diselamatkan,” ujarnya lagi.

Tambah Fatimah situasi gelandangan ini agak terkawal sekitar tahun 2019 hingga penghujung tahun 2021 disebabkan kawalan ketat semasa pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Usai sesi sidang media, Fatimah mengetuai rombongan Operasi Menyelamat Gelandangan yang turut disertai oleh 12 agensi kerajaan dengan kekuatan 79 pegawai dan anggota di sekitar Bandaraya Kuching termasuklah kawasan sekitar Tebingan Sungai Kuching, Electra House dan Jalan Gambier.

Pada penghujung operasi itu, hanya empat orang gelandangan ditemui dan selain tiga warga tempatan, salah seorang daripada mereka merupakan warganegara Indonesia.

Menurut Fatimah, gelandangan yang ditemui ini akan dibawa ke pusat rawatan bagi tujuan pemeriksaan kesihatan selain ke pusat operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak atau ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Sarawak bagi tujuan dokumentasi jika perlu.

“Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya kes-kes gelandangan dan ini termasuklah masalah melibatkan keluarga sebanyak 10 peratus, masalah mental menyumbang sebanyak 11 peratus, 28 peratus pula tiada tempat tinggal, ketagihan minuman keras dan penggunaan bahan terlarang merekodkan tujuh peratus, penagihan dadah enam peratus dan 19 peratus pula adalah disebabkan hilang pekerjaan dan terputusnya sumber pendapatan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan