KUCHING, 12 Nov: Kegiatan pembakaran terbuka yang tidak terkawal dan tidak berlesen, terutamanya yang berlaku di kawasan perladangan kelapa sawit sering kali menjadi punca kepada peningkatan Indeks Pencemaran Udara (API) sehingga mengakibatkan jerebu tebal yang mengganggu aktiviti harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada berkata adalah sangat penting untuk memperkukuh dan memperteguh Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 bagi melindungi alam sekitar.
“Pembakaran terbuka yang tidak terkawal dan tanpa lesen telah membawa bahaya kesihatan kepada kita sebagai manusia. Aktiviti ekonomi seperti ladang kelapa sawit memerlukan pembukaan tanah baru dan jika tidak dikawal, pemilik ladang ini akan melakukan pembakaran terbuka.
“Pembuangan sisa berjadual yang tidak bertanggungjawab, terutamanya bahan radioaktif, turut memberikan kesan bahaya besar kepada manusia,” katanya pada sesi perbahasan RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Selain itu, beliau turut berkata aktiviti ekonomi yang tidak terkawal, pembuangan sisa yang tidak terkawal dan tidak teratur serta pembuangan sisa berjadual telah menyebabkan kerosakan yang besar dan tidak boleh dipulihkan kepada alam sekitar.
Ujar Simon, RUU tersebut memperuntukkan satu perundangan bagi mengawal isu pencemaran serta tindakan terhadap sebarang bencana dan bencana alam sekitar seperti tumpahan minyak.
“Tumpahan minyak di Pulau Pinang seperti yang dilaporkan oleh Sahabat Alam, telah mencemarkan pantai sepanjang lima kilometer (km) di pulau tersebut dan menyebabkan kerosakan besar kepada ekosistem, hidupan marin dan burung laut. Ia membawa kerugian ekonomi, terutamanya bagi nelayan dan mereka yang terlibat dalam marikultur.
“Dengan adanya RUU ini, pihak berkuasa yang bertanggungjawab dapat mempertingkatkan pemantauan dan seterusnya menguatkuasakan peranan pengawalseliaan yang disediakan dalam RUU ini,” katanya. – TVS