KUCHING, 12 Nov: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) disaran meneroka keperluan melaksanakan kempen pengurusan sisa awam serta penyediaan peralatan yang diperlukan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menjalankan pengurusan sisa yang betul dengan menggunakan ‘Environmental Fund’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata, langkah ini akan dapat menggalakkan kitaran ekonomi dalam usaha untuk meminimumkan pembaziran, selain menggunakan sumber asli secara mampan dan memulihkan semua alam sekitar.
“Pengurusan sisa adalah agak mahal dan kos untuk menjana lebih banyak sisa pula harus diimbangi oleh pihak yang menghasilkannya (sisa).
“Kita mesti menggalakkan pengurangan sisa memandangkan kesannya (yang negatif) terhadap alam sekitar dan juga perlu mendesak pelaksanaan penyelesaian sisa hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Menurut Ibrahim, bagi menambah baik sistem pengurusan sisa, Sarawak memerlukan sistem yang dapat menguatkuasakan piawaian untuk kemudahan kitar semula, pengkomposan dan sisa kepada tenaga.
“Kita perlu mewujudkan penggunaan amalan sisa mampan kepada pihak perniaga dan majlis perbandaran. Mereka yang terlibat dalam pengurusan dan pelupusan sisa yang tidak betul haruslah bertanggungjawab.
“Saya turut menggalakkan pengenaan ses (cukai khas) ke atas sisa yang dihasilkan oleh industri dan perniagaan kerana ini akan mendorong ekonomi kita untuk menjadi lebih cekap dan mengurangkan pembaziran ke tapak pelupusan,” jelasnya. – TVS