PHNOM PENH, 12 Nov: Di kawasan pergunungan yang indah dengan muka bumi berceranggah di perkampungan terpencil Laos, kanak-kanak dan petani berdepan dengan tinggalan periuk api serta bahan letupan jenis ‘Unexploded Ordnance’ (UXO) yang mengancam nyawa mereka selama lebih 40 tahun.
Sisa letupan perang ini yang ditinggalkan sejak Perang Vietnam menjadi ancaman kepada kehidupan masyarakat tempatan yang tidak bersalah dan terpaksa menanggung kesan daripada alat letupan berkenaan.
Petani tidak dapat membajak tanah mereka manakala kanak-kanak takut untuk pergi ke sekolah, menyebabkan ramai hidup dalam ketakutan.
Walaupun terdapat kempen antarabangsa yang giat dijalankan untuk membersihkan sisa letupan yang tertanam, Laos masih terdedah kepada risiko tinggi, dengan lebih 60 peratus daripada mangsa pada tahun ini adalah kanak-kanak.
Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kawal Selia Kebangsaan Laos untuk UXO/Pusat Tindakan Periuk Api Bounpheng Sisawath mendedahkan bahawa 48 insiden berkaitan UXO berlaku tahun ini, mengorbankan sembilan nyawa.
“Hampir 62.5 peratus daripada mereka yang cedera atau terbunuh adalah kanak-kanak, dengan kebanyakan kemalangan disebabkan oleh kanak-kanak bermain dengan bahan letupan. Insiden sedemikian menyumbang 35 peratus daripada jumlah keseluruhan, menunjukkan keperluan mendesak untuk kempen kesedaran risiko yang lebih berkesan,” kata Sisawath, seperti dilaporkan Vientiane Times pada November.
Walaupun angka terus berubah-ubah, hampir 25,000 orang dilaporkan terkorban akibat letupan periuk api dan UXO selama bertahun-tahun, dengan 40 peratus daripadanya adalah kanak-kanak, menurut agensi global yang bertugas di lapangan.
Menurut kerajaan Laos, 15 daripada 18 wilayah negara itu tercemar dengan bom-bom kecil yang dilepaskan daripada bom berangkai (cluster submunitions).
Laos telah bergelut untuk membangunkan semula ekonominya.
Sektor pelancongan, pertanian, perlombongan dan kuasa hidro memacu ekonomi Laos dengan pendapatan per kapita sebanyak RM4,300 (US$2,000) sementara negara itu turut mengalami kadar inflasi tinggi kira-kira 20 peratus.
Bencana alam, kurang pembangunan dan hutang awam yang besar terus membelenggu negara kecil itu yang terhimpit antara negara-negara jiran yang lebih makmur – China, Thailand, Vietnam, dan Kemboja.
Mines Advisory Group (MAG) yang berpangkalan di United Kingdom, memetik data kerajaan Laos menyatakan bahawa pada penghujung 2023, hampir 1,996 kilometer persegi (km persegi) tanah telah disahkan tercemar dengan “cluster submunitions” dan UXO lain.
Kawasan itu hampir 2.5 kali ganda saiz Singapura.
Pengarah Negara MAG untuk Laos Eli Mechanic memberitahu Bernama bahawa jumlah keseluruhan dijangka meningkat ketika lebih banyak tinjauan dilakukan dan tahap pencemaran periuk api masih belum diketahui sepenuhnya.
“Bahaya tersembunyi seperti bahan letupan tidak meletup menyekat akses kepada tanah yang selamat, mengehadkan kawasan pertanian dan ragut serta mewujudkan risiko berterusan kepada komuniti tempatan.
“Ini menghalang pembangunan pertanian dan mengganggu kehidupan harian, kerana keluarga menghadapi kebimbangan keselamatan dan mengurangkan peluang ekonomi. Cabaran dalam membersihkan alat letupan ini termasuk keadaan muka bumi yang sukar, cuaca, dan pembiayaan terhad,” kata Mechanic dalam temu bual melalui e-mel.
MAG ialah organisasi kemanusiaan dan advokasi global yang mengesan, mengalihkan dan memusnahkan periuk api, bom berangkai dan bom tidak meletup di kawasan yang terjejas akibat konflik.
Pakar MAG telah berkhidmat di Laos selama lebih 30 tahun, berjaya membersihkan lebih daripada 136 km persegi tanah tercemar.
Usaha mereka menjadikan tanah itu selamat untuk kanak-kanak, keluarga, dan komuniti, membolehkan mereka menggunakannya untuk pertanian dan pembangunan tanpa rasa takut akan berlakunya kemalangan.
Mechanic berkata pasukan MAG telah meninjau lebih 1,250 km persegi tanah, mengesahkan lebih 1,220 km persegi kawasan berbahaya, dan melaksanakan lebih 37,000 tugas pelupusan bahan letupan di 500 buah kampung.
“Secara keseluruhan, MAG telah memusnahkan lebih 340,000 bahan letupan tidak meletup dengan selamat. Usaha ini memberi manfaat secara langsung kepada lebih 1.18 juta orang.
“Selain itu, MAG telah menjalankan lebih 4,500 sesi Pendidikan Risiko Ordnans Letupan di 320 buah kampung, melibatkan lebih 153,000 peserta untuk memastikan masyarakat memahami risiko dan mengetahui cara untuk kekal selamat,” katanya.
Laos, satu-satunya negara yang tidak mempunyai laut di Asia Tenggara dan dengan populasi kira-kira tujuh juta orang, mengalami pengeboman besar-besaran pada 1960-an dan 1970-an.
Lebih dua juta tan bom berangkai digugurkan di negara itu dalam tempoh berkenaan, menurut laporan antarabangsa. -TVS