KUMPULAN XONE bakal melancarkan single terbaru berjudul ‘Langgar’ pada 29 November ini.
Menurut kenyataan XENO Entertainment, populariti kumpulan duo wanita dari Kuala Lumpur itu kian melonjak dengan membawa kemampuan serba boleh dalam semua persembahannya.
Kumpulan itu dianggotai Ellya Keesha (vokalis utama dan penari) dan Nelysa Nazrin (penyanyi rap utama, vokalis dan penari) dengan kedua-duanya mempamerkan konsep keaslian dan bersifat individu, namun bergerak seiring antara satu sama lain.
Single pertama mereka ‘Lantaklah’ berjaya menduduki tangga teratas dengan 1.5 juta tontonan di YouTube.
Lagu berkenaan turut tersenarai dalam carta Viral Malaysia 50 sekali gus menjadi tonggak luar biasa bagi XONE,” kata kenyataan itu.
Pada 2023, XONE juga tercalon dalam Video Muzik Tergempak pada Tiktok Awards Malaysia.
Pada tahun sama, duo wanita itu turut pernah bekerjasama dengan barisan artis popular Malaysia dalam projek ‘Jelajah Marilah Pulang’ bersama Floor 88, Alyssa Dezek, Amir Jahari, Syada Amzah, As’ad Motawh dan Nana Sheme. – TVS