Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata Kerajaan Sarawak berpandangan bahawa agihan kerusi di Dewan Rakyat yang telah dimiliki Singapura haruslah diberikan kepada Sarawak dan Sabah. Foto UKAS

Kerajaan Persekutuan positif terhadap tuntutan 35 peratus kerusi Dewan Rakyat

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 12 Nov: Kerajaan Persekutuan telah mengambil beberapa langkah positif dalam memberi perhatian kepada jumlah 35 peratus kerusi di Dewan Rakyat yang dituntut oleh Sarawak dan Sabah.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, antaranya adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerja sebagai platform perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah.

Katanya, jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari Sarawak dan Sabah bersama pegawai Kerajaan Persekutuan bagi memastikan isu-isu berkaitan perwakilan, autonomi dan hak-hak dua negeri berkenaan terus diambil perhatian.

“Semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang telah diadakan pada 12 September 2024 baru-baru ini, mesyuarat telah dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara perlu meneliti semula perkara ini dari sudut perundangan.

“Selepas itu, perbincangan akan diadakan semula di antara Jabatan Peguam Negara dengan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah bagi meneliti tafsiran terma ‘safeguard’ kepada Sarawak dan Sabah yang terkandung di dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, dari sudut aspek perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Tegas Hasidah, Kerajaan Sarawak terus komited terhadap tuntutan tersebut bagi memenuhi hasrat rakyat Sarawak dalam mencapai perwakilan yang lebih adil di dalam Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, ujar beliau, cadangan menuntut 35 peratus kerusi itu akan melibatkan pindaan terhadap Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan jumlah kerusi bagi setiap negeri.

“Setelah pindaan ini dilaksanakan, barulah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melaksanakan kajian terperinci selaras dengan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan bagi urusan persempadanan semula,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan