KUCHING, 12 Nov: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyaran penerbangan laluan antarabangsa ke Korea dari Sarawak sejajar dengan tarikan pelaburan wilayah ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata ia antara pandangan yang dikongsi IATA berhubung udaha pemulihan trafik udara antarabangsa dan domestik di Sarawak.
“Walaupun trafik domestik dan antarabangsa di Malaysia Timur menghadapi pemulihan yang lebih perlahan berbanding di Semenanjung Malaysia, ia menunjukkan momentum yang kukuh,” katanya.
Lee Kim Shin berkata demikian ketika menerima kunjungan delegasi IATA di pejabatnya di sini hari ini.
Sementara itu, menurut IATA, walaupun Indonesia, Singapura, China, dan Thailand menyumbang secara konsisten kepada negara, Korea dilihat sebagai pasaran yang sangat kukuh untuk Malaysia Timur, terutama disebabkan oleh peningkatan populariti Sabah sebagai destinasi pilihan pelancong dari Korea Selatan.
Kedua-dua pihak turut membincangkan perkhidmatan nasihat yang ditawarkan IATA kepada syarikat penerbangan dan lapangan terbang, sebagai sokongan untuk pertumbuhan strategik, penambahbaikan operasi, dan pembangunan infrastruktur.
Wakil IATA membincangkan projek-projek mereka, termasuk pembangunan lapangan terbang baru, merujuk kepada penglibatan mereka dalam perancangan dan perundingan untuk projek lapangan terbang utama, seperti lapangan terbang baru di Sydney.
“Projek ini, yang melibatkan penilaian kapasiti, perancangan terminal dan ramalan trafik, adalah contoh kepakaran IATA dalam membimbing pembangunan infrastruktur berskala besar,” jelas mereka.
Khidmat nasihat IATA kepada syarikat penerbangan juga diketengahkan, termasuk sokongan dalam bidang seperti strategi rangkaian dan armada, perancangan laluan baru dan kecekapan operasi.
“Pengalaman IATA dalam menubuhkan syarikat penerbangan baharu dan mengoptimumkan operasi syarikat penerbangan akan sangat relevan untuk Sarawak, kerana negeri ini menarik syarikat penerbangan baru dan meningkatkan sambungan udara.”
“Perkhidmatan mereka dapat membantu menilai peluang pasaran, mengoptimumkan strategi harga, dan memperbaiki pengurusan hasil untuk memastikan kemampanan jangka panjang bagi pembawa baru di rantau ini,” tambah IATA.
Kim Shin turut mengiktiraf peranan IATA dalam menyokong industri penerbangan global dan menyatakan minat untuk bekerjasama dengan pasukan perunding IATA bagi meningkatkan ketersambungan udara Sarawak, meningkatkan kecekapan operasi, dan meneroka peluang baharu untuk pertumbuhan.
Mesyuarat itu turut menekankan komitmen Sarawak untuk membangunkan sektor penerbangannya dan meningkatkan kesalinghubungan, bukan sahaja untuk pelancongan dan perniagaan, tetapi juga untuk menyokong pembangunan ekonomi serantau.
Beliau berharap dapat bekerjasama rapat dengan IATA dalam bidang seperti pembangunan lapangan terbang, operasi syarikat penerbangan baru, dan kemampanan, untuk memperkukuh kedudukan Sarawak dalam rangkaian penerbangan serantau dan antarabangsa pada masa akan datang.
Turut hadir wakil perunding IATA, Prinsipal Kanan, Ketua Asia Lian Zhang, dan Pengurus Kawasan Asia Tenggara, APAC-Filed Office Yuli Thompson. – TVS