KUCHING, 12 Nov: Usul Meminda Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memperkukuh ketelusan dan kesahihan maklumat diluluskan setelah mendapat majoriti dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak hari ini.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mengumumkan perkara itu selepas mendepat perbahasan usul daripada ahli-ahli dewan dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Usul berkenaan dicadangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan disokong oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.
Dalam ucapan ketika mengemukakan usul cadangan pindaan, Abdul Karim berkata pindaan yang dicadangkan bertujuan untuk memperbaiki pentadbiran perjalanan mesyuarat di DUN Sarawak dengan memastikan bahawa tuduhan yang dibuat di DUN Sarawak disokong dan disahkan.
Selain itu, pindaan yang dicadangkan juga penting untuk menangani penyalahgunaan media sosial dan sidang akhbar yang semakin meningkat, di mana beberapa ahli dewan telah membuat kenyataan yang memprovokasi dan menghina yang bertujuan untuk merendahkan dan mempersendakan kuasa keputusan Speaker DUN Sarawak.
Sehubungan itu kata Abdul Karim, semua keputusan yang dibuat oleh Speaker DUN Sarawak hendaklah dihormati dengan sewajarnya dan tidak seharusnya dijadikan bahan ejekan dan penghinaan awam melalui komen-komen dan penyalahgunaan fakta kepada media. – TVS