KUCHING, 12 Nov: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar disifatkan sebagai langkah efektif dalam menangani fenomena ‘logjam’ atau longgokan ribuan sisa kayu balak yang hanyut di sepanjang di Sungai Katibas dan Sungai Rajang berhampiran Song Kapit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, RUU yang berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ini penting bagi mengelakkan kejadian ‘logjam’ di Sungai Katibas tidak berulang kembali.
“Kita mempunyai pengalaman buruk semasa kejadian logjam di Sungai Katibas yang berpunca daripada penebangan pokok secara tidak terkawal di sepanjang sungai.
“Justeru, serpihan itu menyebabkan penyumbatan besar, air sungai yang keruh dan memusnahkan habitat ikan kita yang menyebabkan penurunan populasi ikan.
“Kita tidak mahu perkara ini berulang kembali. Sambil kita mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kita, Rang Undang-Undang ini melindungi rakyat kita daripada risiko kesihatan, ” katanya semasa membahaskan RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, RUU ini turut memberi penekanan terhadap undang-undang mengawal kualiti air, pelepasan udara, dan pelupusan sisa toksik dan membantu melindungi kesihatan awam.
Sehubungan itu, jelas Lidam, RUU itu juga bagi mengurangkan dan mencegah monopoli dalam pengurusan sumber asli sekaligus mengelakkan krisis atau konflik yang mungkin akan berlaku kelak.
“Sumber asli Sarawak adalah penting kerana menjadi sumber pendapatan kita. Tanpa undang-undang ini untuk mengurus sumber asli kita, ia boleh menimbulkan konflik apabila orang bersaing untuk menguasainya, terutamanya sumber berharga seperti minyak, mineral, dan air.
“Selain itu, Rang Undang-Undang ini juga menyediakan akses saksama kepada sumber asli dengan mengurangkan atau mencegah monopoli supaya semua rakyat dapat menikmatinya. Perkara ini amat penting bagi sumber air, perikanan, hutan dan tanah yang menjadi kebergantungan komuniti tempatan,” ujarnya lagi.-TVS