KUCHING, 12 Nov: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberi jaminan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebentar tadi akan menekankan ketelusan dan integriti.
Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian bagi menjawab persoalan ketelusan RUU terbabit yang ditimbulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong.
“Mana-mana projek yang dicadangkan mesti mematuhi keperluan peraturan sebelum pelaksanaannya, termasuk Projek Pemerangkapan, Penggunaan, dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
“Walaupun Ordinan Ombudsman bukan dalam lingkungan RUU ini, tetapi yakinlah, Kerajaan Sarawak akan memastikan elemen ketelusan dan integriti diterima pakai dalam pelaksanaan RUU tersebut,” katanya dalam ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Kedua Sarawak juga berkata Kerajaan Sarawak akan mengambil kira perkara-perkara yang dibangkitkan oleh ahli-ahli dewan dalam merumuskan peraturan-peraturan yang akan dibuat selepas RUU itu diluluskan.
Ujarnya lagi, Kerajaan Sarawak turut mengiktiraf kepentingan penguatkuasaan bagi mencapai objektif RUU berkenaan.
“Sarawak akan mengukuhkan penguatkuasaan kita serta pembinaan kapasiti melalui peningkatan kepakaran, tenaga kerja dan penggunaan teknologi canggih seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Data Besar.
“Bagi konteks penglibatan dan ketelusan awam, yakinlah bahawa Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) dan agensi-agensi lain yang berkaitan sedang menjalankan dan akan meneruskan pelbagai program kesedaran untuk meningkatkan tahap kesedaran di kalangan rakyat Sarawak tentang kepentingan perlindungan alam sekitar,” katanya lagi.
Terdahulu, RUU berkenaan telah lulus selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.
Awang Tengah dalam ucapan penggulungannya berkata RUU berkenaan bukan sahaja menangani keperluan mendesak untuk memerangi perubahan iklim tetapi juga mengukuhkan kemampuan Sarawak untuk mengawal pelepasan, sisa, dan pencemaran. – TVS