KUCHING, 12 Nov: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 memberi impak signifikan terutamanya melibatkan pengagihan kuasa kawal selia dalam pengurusan alam sekitar dan sisa dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai berkata, perkara ini bermakna urusan pelupusan sisa seperti sisa logam, contohnya bateri, sisa elektronik alat penghawa dingin akan diserahkan kepada pihak berkuasa Sarawak selepas ini.
“Pengagihan kuasa kawal selia ini juga turut melibatkan pelesenan aktiviti yang ditetapkan iaitu di luar premis, kenderaan, pelepasan minyak ke perairan Sarawak, pencemaran atmosfera, pencemaran bunyi, pencemaran tanah dan pencemaran air,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, jelas Nicholas, NREB juga telah diamanahkan dengan fungsi terbaharu, khususnya mengenai perkara yang berkaitan dengan penangkapan dan penyimpanan karbon, kawalan pelepasan gas rumah hijau dan inisiatif hijau yang lain.
“Ini merupakan satu fungsi baru yang sangat penting dan pengawalan kuasa selia yang efektif amatlah diperlukan bagi mendapatkan penghasilan yang optimum.
“NREB dijangka melaksanakan fungsi tambahan yang baru hasil daripada inisiatif tersebut merangkumi kawalan pengangkutan, pengesahan dan pemeriksaan gas berjadual yang akan dibawa ke luar negara untuk penyimpanan di Sarawak,” ujarnya.
Selain itu, Nicholas menambah, tugasan tambahan yang turut dilaksanakan NREB adalah seperti mengawal selia, mengawal dan inventori pelepasan gas rumah hijau, penilaian levi karbon dan pelaksanaan strategi, pelan tindakan dan insentif ke arah pengurangan atau pengurangan gas rumah hijau.
Justeru, katanya, beliau juga yakin Kerajaan Sarawak dan NREB bersama agensi dan jabatan kerajaan berkaitan telah bersedia untuk memikul tanggungjawab serta cabaran dalam mengimplementasi RUU baharu berkenaan di peringkat awalan. – TVS