KUCHING, 12 Nov: Penggubalan Rang Undang-Undang Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 diperkenalkan sebagai langkah penting untuk mengawal, menyelia dan mengurus sumber asli dan alam sekitar di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, RUU ini menandakan era baharu dalam pengurusan alam sekitar di wilayah ini.
Menurutnya, ia mencerminkan hak kerajaan untuk menentukan hala tuju sendiri berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Dengan memberikan Sarawak kuasa yang lebih besar ke atas sumber asli dan peraturan alam sekitar, Rang Undang-Undang ini memberi kuasa kepada kita untuk mengurus perlindungan alam sekitar dan kemampanan sumber dengan cara yang terbaik untuk memenuhi keperluan unik kita.
“Rang Undang-Undang ini langkah penting untuk Sarawak dalam pengurusan alam sekitar dan juga dalam merealisasikan hak-hak kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Joseph Chieng berkata, RUU ini merupakan anjakan paradigma yang berkesan bagi melindungi biodiversiti, mengawal pencemaran dan mengawal selia penggunaan sumber asli di wilayah ini.
“Rang Undang-Undang ini bukan sahaja memindahkan kuasa pentadbiran, namun ia membantu untuk melaksanakan perubahan alam sekitar yang bermakna. Landskap semula jadi Sarawak yang pelbagai memerlukan pengurusan yang berkesan.
“Oleh itu, Rang Undang-Undang ini meningkatkan kapasiti kita untuk melindungi biodiversiti, mengawal pencemaran, dan mengawal selia penggunaan sumber dengan piawaian yang ketat,” ujarnya lagi.
Tegasnya, RUU ini selaras dengan visi jangka panjang Sarawak untuk menjadi sebuah negeri yang hijau dan lestari, memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Sebelum ini, katanya, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memindahkan kuasa pengawalseliaan alam sekitar secara berperingkat kepada Sarawak.
Penggubalan Rang Undang-Undang ini membolehkan kerajaan melaksanakan peruntukan utama Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang disesuaikan dengan keadaan di Sarawak.-TVS