Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Usul serta perbahasan untuk meminda peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tersebut dicadangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak. Foto: UKAS

DUN Sarawak: Pindaan Peraturan Tetap bagi kekang maklumat tidak sahih

ByWilly Jali

KUCHING, 12 Nov: Pindaan Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bertujuan menyesuaikan peraturan institusi perundangan itu agar selari dengan perkembangan terkini dalam usaha memperkukuh ketelusan dan kesahihan maklumat yang disebarkan melalui media sosial dan portal berita dalam talian.

Usul serta perbahasan untuk meminda peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tersebut dicadangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini.

Menurutnya, pindaan tersebut bagi memastikan peraturan adaptif, menyeluruh dan mampu menangani isu-isu kontemporari serta mengekalkan integriti prosiding parlimen.

“Pindaan ini adalah penting untuk menangani perkembangan terkini dan cabaran baharu yang tidak diliputi sepenuhnya oleh Peraturan Tetap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Malaysia.

“Apabila landskap legislatif terus berkembang, pindaan ini adalah penting untuk memastikan peraturan yang mentadbir tetap boleh disesuaikan dan menyeluruh. Selain itu, mampu menangani isu kontemporari dengan berkesan serta mengekalkan integriti prosiding parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul cadangan pindaan terhadap Peraturan Tetap Dewan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, jelas Abdul Karim, pindaan yang dicadangkan ini juga penting untuk menangani penyalahgunaan media sosial yang bersifat hasutan, menghina dan merendahkan kuasa keputusan Speaker.

Tegasnya, sebarang berkaitan penyelewengan maklumat perlu dihindari bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu menerusi platform digital yang dapat menggugat keharmonian masyarakat.

“Dewan ini adalah badan legislatif tertinggi negeri. Prosiding dewan ini harus dijalankan dengan martabat, penuh rasa hormat dan ketertiban. Apa yang dikatakan dalam Dewan ini dan dilaporkan ke luar boleh mempengaruhi perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

“Oleh itu, adalah penting bahawa semua perbincangan dan keputusan dewan ini harus dihormati dan dihargai.

“Penyelewengan maklumat mengenai apa yang dikatakan atau berlaku dalam dewan ini, sama ada kepada media atau kepada umum secara amnya, mesti dielakkan,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pemilihan dan Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Sarawak yang bersidang pada 30 Oktober 2024 telah bersetuju dengan cadangan pindaan ini terhadap Peraturan Tetap.

Pindaan yang dicadangkan melibatkan perubahan pada beberapa Peraturan Tetap 20; Peraturan Tetap 32(10), Peraturan Tetap 40(3), Peraturan Tetap 86 dan Peraturan Tetap 90. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan