KUCHING, 12 Nov: Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini menandakan satu langkah penting dalam tadbir urus alam sekitar Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Kedua Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata RUU berkenaan bukan sahaja menangani keperluan mendesak untuk memerangi perubahan iklim tetapi juga mengukuhkan keupayaan Sarawak untuk mengawal pelepasan, sisa dan pencemaran.
“Dengan mengawal selia pelepasan, sisa dan pencemaran daripada industri, ia memastikan persekitaran yang lebih bersih dan sihat untuk rakyat Sarawak serta memupuk kualiti hidup yang lebih baik.
“RUU ini menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi dan kemampanan alam sekitar saling melengkapi akan memastikan generasi akan datang mewarisi persekitaran yang berkembang maju dan berdaya tahan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, RUU berkenaan memberi satu rangka kerja dalam mengurus sumber aslinya secara bertanggungjawab dan melindungi alam sekitarnya.
RUU yang berasaskan prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu membolehkan Sarawak melaksanakan autonomi penuh dalam tadbir urus alam sekitar dan seterusnya mengukuhkan keupayaannya untuk memelihara ekosistem yang unik sambil memupuk pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan.
“Komitmen Sarawak terhadap RUU ini menunjukkan pendekatan tadbir urus yang mampan yakni keperluan masa kini dipenuhi tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri.
“Dengan undang-undang ini, Sarawak mengukuhkan komitmennya untuk masa depan yang lebih bersih, hijau dan lebih mampan,” katanya.