KUCHING, 12 Nov: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan “stop work order” bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) yang melibatkan naik taraf sistem perparitan, Hospital Umum Sarawak (HUS), kuarters kerajaan persekutuan di Jalan Batu Lintang, serta pembinaan kolam takungan air SUStoM di kawasan kuarters jururawat lama.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr. Penguang Manggil, berkata arahan tersebut dikeluarkan pada 7 Ogos lepas selepas Sarawak Heritage Society (SHS) membuat rayuan untuk memelihara kuarters jururawat lama itu yang didakwa sebagai bangunan warisan penting.
“Untuk menyelesaikan kebuntuan ini, satu jawatankuasa pelbagai disiplin yang melibatkan agensi kerajaan dan NGO berkaitan telah ditubuhkan.
“Jawatankuasa ini kini sedang merancang penyelesaian yang adil bagi memastikan projek dapat diteruskan mengikut perancangan, sambil mengekalkan nilai warisan bangunan kuarters lama yang terletak di hadapan Hospital Umum Sarawak,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, See Chee How yang mahu penjelasan mengenai kemajuan pelaksanaan dan penyiapan PLSB Sungai Sarawak bagi pakej 2 dan pakej 3.
Beliau berkata, langkah ini mencerminkan komitmen semua pihak dalam menyeimbangkan pembangunan dan pemeliharaan warisan tempatan yang bernilai tinggi di Sarawak.
Pada 4 Ogos lepas, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan permintaan SHS agar kuarters jururawat berhampiran HUS tidak dirobohkan.
Beliau memberi respon kepada rayuan SHS, yang memohon campur tangan Abang Johari bagi menghentikan rancangan merobohkan kuarters di persimpangan Jalan Crookshank dan Jalan Tun Abang Haji Openg tersebut.
Presiden SHS, Rosemarie Wong Jabu, menyatakan bahawa SHS menyedari hasrat untuk menggunakan kuarters jururawat sebagai kolam takungan air bagi membantu tebatan banjir di kawasan sekitar HUS.
Menurut beliau, tiada keperluan untuk merobohkan kuarters tersebut kerana elemen hadapan bangunan boleh dipelihara dengan baik dan strukturnya masih kukuh. – TVS