KUCHING, 12 Nov: Kerajaan Sarawak telah meluluskan Foreign Direct Investment (FDI) berjumlah RM31.8 bilion untuk industri berteknologi tinggi dalam elektrik dan elektronik, kimia dan logam hijau bagi tempoh tahun 2019 hingga 2023.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh berkata, sebanyak 10 projek pelaburan tersebut telah dilaksanakan bagi tempoh berkenaan.
Menurutnya, projek industri berteknologi tinggi yang telah dilaksanakan adalah berjumlah RM9.3 bilion bagi lima projek dalam elektrik dan elektronik, tiga projek dalam kimia dan dua projek dalam logam hijau.
“Bagi mempercepatkan pembangunan untuk menyokong industri berteknologi tinggi, MINTRED sedang membangunkan Polisi Pelaburan Sarawak bertujuan membentuk strategi dan pelan tindakan untuk meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan.
“Kerajaan Sarawak menggalakkan kerjasama strategik dengan institusi teknikal, pusat penyelidikan dan pengajian tinggi serta industri-industri khusus seperti semikonduktor dan aeroangkasa bagi memacu inovasi dan pembangunan teknologi,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor yang mahu mendapatkan status FDI yang diterima Kerajaan Sarawak dalam industri berkenaan.
Dalam jawapan tambahan, Dr Malcom juga berkata, Kerajaan Sarawak turut akan memberi fokus kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan latihan dalam bidang kejuruteraan elektrik, teknologi automotif dan aeroangkasa.
Katanya lagi, Kerajaan Sarawak merupakan satu-satunya wilayah yang menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada semua anak Sarawak menjelang tahun 2026 dengan mengutamakan kursus teknikal dan kewangan seperti kejuruteraan, perakaunan, analisis siber dan sains komputer.
“Kerajaan Sarawak turut akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Sarawak sebagai hab aeroangkasa dan semikonduktor,” ujarnya lagi. – TVS