KUALA LUMPUR, 12 Nov: Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang meneliti mekanisme yang akan digunakan untuk penyasaran subsidi RON95, kata Rafizi Ramli.
Beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata, mekanisme akhir akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selaras dengan garis masa perlaksanaan iaitu menjelang pertengahan tahun depan.
Kata Rafizi, kerajaan juga mengambil maklum pelbagai cabaran yang bakal dihadapi sekiranya mekanisme kad pengenalan digunakan untuk pengesahan kelayakan.
“Cabaran ini melibatkan isu infrastruktur terutamanya capaian internet yang perlahan di luar bandar dan kerosakan cip kad pengenalan, risiko pengesahan identiti dan penyalahgunaan kad pengenalan.
“Oleh itu kerajaan komited untuk memastikan mekanisme yang ditentukan nanti bersesuaian dan tidak membebankan rakyat,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Rafizi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (Pakatan Harapan- Pulai) yang ingin tahu berhubung mekanisme penggunaan kad pengenalan untuk pengesahan kelayakan penerimaan subsidi RON95 yang terdedah kepada masalah kerosakan cip kad pengenalan, capaian internet yang perlahan di luar bandar, penipuan kelayakan, tambahan kos sistem pengesahan dan melambatkan proses pembelian minyak.
Sementara itu beliau memaklumkan selepas penyasaran berkenaan, stesen minyak akan mempunyai dua harga iaitu bersubsidi yang kekal pada paras ditetapkan oleh kerajaan bagi 85 peratus rakyat dan harga yang diapungkan bagi 15 peratus isi rumah lain.
“Ini akan melengkapkan usaha kerajaan untuk menyasarkan subsidi dari golongan yang tidak layak untuk mendapat subsidi iaitu orang asing dan 15 peratus golongan berpendapatan tinggi kepada golongan yang memerlukan iaitu 85 peratus rakyat yang lain,”katanya.
Pada masa sama beliau memaklumkan, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah memperkenalkan Perbelanjaaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) mengikut daerah di seluruh negara sebagai nilai ambang perbelanjaan sesebuah keluarga mengikut jumlah tanggungan untuk menjalani kehidupan wajar.
“Nilai ambang perbelanjaan isi rumah ini mengambil kira perbelanjaan yang lebih besar, selain dari kos biasa seperti makanan, perumahan, tenaga dan sebagainya, untuk sesebuah keluarga menikmati hidup bermaruah dan turut serta di dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Jelas Rafizi, pelaksanaan penyasaran subsidi ini melibatkan dua bahagian iaitu yang pertama meliputi penentuan golongan 85 peratus yang layak berdasarkan kedudukan sosio-ekonomi isi rumah yang mengambil kira pendapatan bersih (pendapatan kasar ditolak bayaran wajib seperti cukai, caruman, zakat dan seumpamanya), tanggungan dan kos sara hidup berdasarkan lokasi.
“Bahagian kedua melibatkan pelaksanaan penyasaran subsidi di stesen minyak yang meliputi pengesahan kelayakan seseorang mengambil kira kedudukan sosio ekonomi isi rumahnya menggunakan beberapa kaedah yang sedang dipertimbangkan, iaitu kad pengenalan dan e-dompet,” katanya lagi. -TVS.