KOTA KINABALU, 12 Nov: Dua lelaki tempatan dipercayai dalang dan keldai dadah ditahan bersama 24.5 kilogram syabu bernilai kira-kira RM800,000 dalam operasi pada 7 November lalu.
Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai ejen insurans dan penghantar makanan berusia 24 dan 28 tahun itu ditahan pasukan Narkotik Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, berdasarkan maklumat dan risikan aktiviti sindiket pengedaran dadah, pasukan polis melakukan pemantauan terhadap penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.
Katanya, suspek pertama ditahan sebaik tiba di KKIA, pada jam 8.30 pagi selepas dikesan membawa barang larangan dalam pesawat.
“Sebaik ditahan, hasil pemeriksaan terhadap bagasi yang dibawa suspek mengandungi 23 kotak bungkusan Rich & More!.
“Pemeriksaan lanjut menemui 24.5kg syabu yang dianggar bernilai RM800,000 mengikut harga pasaran,” katanya pada sidang media di IPK Sabah, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang bekerja sebagai ejen insurans.
Katanya, suspek kedua yang berusia 28 tahun itu disyaki antara dalang sindiket pengedaran dadah di Sabah.
“Buat masa ini polis masih menyiasat lanjut bagi mengenal pasti bagaimana suspek memperoleh bekalan dadah di Semenanjung dan bagaimana suspek boleh membawa bekalan dadah menaiki penerbangan masuk ke negeri ini.
“Hasil penahanan kedua-dua suspek, polis turut merampas pelbagai barangan, antaranya barang kemas, telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai,” katanya.
Jauteh berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek pertama terbabit jenayah lampau selepas mengaku pernah membawa dadah bernilai RM10,000 ke negeri jiran sebelum ini.
“Suspek pertama dipercayai berperanan sebagai keldai dadah untuk menyelesaikan tugasan mengambil dadah dari Kuala Lumpur dan hantar ke lokasi diarahkan sindiket atasan.
“Suspek menerima upah RM1,000 setiap satu kg dadah yang dibawa masuk ke Sabah,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek direman sehingga 15 November depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. -TVS