Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kumpulan sukarelawan Trash Hero Kota Kinabalu menyampaikan mesej jelas kepada komuniti di Sabah mengenai pembersihan pantai berkala bukanlah penyelesaian kepada masalah sampah yang semakin meningkat di Kota Kinabalu. Foto TVS

Tingkat kesedaran jaga alam sekitar

KOTA KINABALU, 10 Nov: Kumpulan sukarelawan Trash Hero Kota Kinabalu menyampaikan mesej jelas kepada komuniti di Sabah mengenai pembersihan pantai berkala bukanlah penyelesaian kepada masalah sampah yang semakin meningkat di Kota Kinabalu.

Ketua Trash Hero Kota Kinabalu, Zurainee Kula semasa ditemui TVS dalam program pembersihan pantai di Pantai Kebagu, Sepanggar, Kota Kinabalu baru-baru ini menyeru setiap individu untuk mengambil tanggungjawab dalam memelihara alam sekitar, dengan menekankan bahawa pembersihan semata-mata tidak akan menangani punca utama isu tersebut.

“Apabila kita bercakap tentang tanggungjawab, sedih untuk mengatakan bahawa tahap kesedaran di sini Kota Kinabalu adalah sangat-sangat rendah. Saya telah melakukan ini (pembersihan pantai dan kempen kesedaran) hampir sepuluh tahun, dan keadaannya semakin teruk.

“Jika kita saling menuding jari, ia tidak akan ada penghujungnya. Sesuatu perlu dilakukan dari diri kita sendiri, dari individu, dan ia seharusnya menjadi usaha komuniti, tanggungjawab bersama. Komuniti di sini harus ada perubahan dari segi sikap dan cara berfikir,” katanya.

Menurut Zurainee, pembersihan pantai hanyalah penyelesaian jangka pendek, kerana yang penting adalah kesedaran awam dan perubahan tingkah laku setiap individu di dalam komuniti Kota Kinabalu yang perlu dipertingkatkan.

Katanya, terdapat segelintir komuniti berasa bahawa dengan adanya kehadiran Trash Hero dan juga pihak berkuasa tempatan, mereka berasa mereka boleh membuang sampah di merata-rata tempat kerana ia akan dibersihkan oleh pihak lain.

“Kita tidak boleh hanya menyerahkan semuanya kepada majlis (pihak berkuasa tempatan). Kita ada majlis di sini, dan orang akan berfikir majlis ada, kita boleh buang sampah sesuka hati.

“Jadi, mereka rasa seperti diberi ‘lesen’ untuk membuang sampah, dengan anggapan majlis, dan orang seperti kami, para sukarelawan akan membersihkannya. Ini seolah-olah memberi hak untuk membuang sampah, tetapi itu tidak betul. Minda dan pemikiran kita terhadap perkara ini perlu diubah,” katanya.

Kata Zurainee, Trash Hero Kota Kinabalu giat menganjurkan pembersihan di sepanjang pantai dari Tuaran hingga Papar termasuk kawasan popular seperti Tanjung Aru dan Likas.

Pasukan Trash Hero Kota Kinabalu terdiri daripada lebih kurang 20 peserta yang giat melakukan aktiviti pembersihan pantai secara berterusan hampir setiap minggu selain menumpukan usaha kepada kempen kesedaran melalui ceramah kepada sekolah, organisasi dan komuniti bagi menggalakkan amalan mampan serta mengurangkan pergantungan terhadap plastik sekali guna.

Zurainee menyeru orang ramai untuk sedar kesan besar yang boleh dicapai jika setiap individu mengambil langkah kecil seperti mengurangkan penggunaan plastik dan membuang sampah dengan betul.

Katanya, dengan amalan kecil tersebut, semua penduduk dapat memberi impak besar dan membantu mengatasi krisis alam sekitar yang semakin kritikal.

Sementara itu, pada program di Pantai Kebagu, Sepanggar lebih kurang 80 peserta menyertai program pembersihan sampah di Sepanggar yang dianjurkan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan mereka berjaya mengumpulkan sekitar 1,200kg sampah hanya dalam masa dua setengah jam. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan