KUCHING, 10 Nov: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan sentiasa mengalu-alukan kerjasama badan korporat untuk melaksanakan pelbagai aktiviti demi pembangunan belia di wilayah ini.
Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick berkata, pembangunan sukan contohnya bola sepak memerlukan kerjasama daripada banyak pihak terutama dari segi tanggungjawab sosial korporat.
“Melalui kejohanan bola sepak ini yang dianjurkan bersama dengan Petronas, ia dapat menarik lebih banyak pasukan dan kelab yang ada di sekitar Kuching termasuk Samarahan untuk menghantar pasukan mereka mengikuti kejohanan ini.
“Oleh itu, kita berharap program sebegini akan terus dapat dikembangkan lagi di bahagian-bahagian lain seperti Bintulu dan Miri dengan kerjasama badan korporat yang lain yang ingin berkolaborasi bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika ditemui TVS semasa menonton Perlawanan Separuh Akhir Kejohanan Bola Sepak Tertutup Belia Petronas 2024 di Stadium Negeri Sarawak, hari ini.
Kata Morshidi, beliau sendiri ada menerima panggilan daripada pihak di bahagian lain untuk menyatakan hasrat dan minat untuk menyertai kejohanan seperti itu.
“Kita berharap badan korporat bukan hanya Petronas tetapi badan korporat yang lain dapat menyumbang dan bekerjasama untuk pembangunan sukan di Sarawak untuk kita mencapai visi iaitu menjadi sebuah kuasa sukan di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan pula, untuk melaksanakan program sebegini di Bahagian Bintulu dan Miri memerlukan kerjasama yang kukuh dan erat daripada semua pihak terutama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut.
“Permintaan amat tinggi untuk program seperti ini diteruskan dan harapan kita mungkin dari pihak ADUN kawasan boleh membantu dalam memberi sedikit peruntukan untuk program ini diadakan di kawasan-kawasan seperti Bintulu dan Miri.
“Seperti yang kita sedia maklum bahawa kejohanan seperti ini merupakan kejohanan yang dinantikan oleh golongan belia khususnya mereka yang bawah 16 tahun untuk mereka sertai dan mengasah bakat.
“Selain itu, terdapat juga pasukan-pasukan dari luar bandar yang menyertai dan menghantar pemain-pemain mereka untuk beraksi ke pentas yang lebih baik seperti ini,” katanya.
Menurutnya, menerusi kerjasama dengan Petronas dalam penganjuran kejohanan bola sepak tersebut serta rakan kongsi yang lain dapat memberikan manfaat kepada pembangunan bola sepak di Sarawak.
“Tanpa kerjasama dari pihak Petronas, mustahil kita dapat mengadakan kejohanan sebegini sebab jika kita lihat di luar negara pun pembangunan sukan bola sepak memang memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak.
“Pihak Petronas mungkin ada dana untuk menganjurkan program, Persatuan Bola Sepak Kuching mungkin ada bahagian pasukan teknikal yang boleh membantu menguruskan program dan pihak kita (SSC) ada tempat untuk mengadakan pertandingan. Itulah kenapa pentingnya kerjasama daripada banyak pihak yang terlibat,” katanya. – TVS