GEORGE TOWN, 10 Nov: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan sesi libat urus antara guru kaunseling dengan pemain industri dalam usaha meningkatkan minat pelajar dalam bidang sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi (STEM).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, peranan guru kaunseling amat diperlukan dalam membantu menyalurkan maklumat terkini dan tepat kepada pelajar sekolah supaya menjadikan STEM sebagai pilihan utama.
Menurutnya, guru terbabit diberikan maklumat sebanyak mungkin menerusi seminar dan sesi bersama pihak berkepentingan terutamanya pemain industri.
“Ia khususnya bagi melatih mereka untuk memastikan apa sahaja intervensi yang dibuat untuk anak-anak khususnya semasa ujian psikometrik penentuan kerjaya dan kecenderungan kerjaya dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
“Jadi, bila kita ada pasukan guru kerjaya yang boleh membuat pedoman yang lebih efektif melalui intervensi ini, kita harap perjuangan untuk melonjakkan pelajar STEM ini akan lebih meningkat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Minggu STEM 2024 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.
Turut hadir, Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya juga berharap mendapat sokongan daripada ibu bapa dalam membantu anak-anak mereka memilih bidang itu sebagai aliran utama pembelajaran.
Katanya, KPM turut berdepan cabaran untuk menyakinkan ibu bapa supaya menyokong anak-anak mereka untuk memilih bidang STEM sebagai aliran utama. – TVS