KUCHING, 10 Nov: Sarawak mencatatkan 1,173 kes remaja hamil dan berdaftar di fasiliti kesihatan kerajaan pada tahun 2022 lalu.
Namun begitu jelas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, angka itu dilihat kurang tepat kerana beliau percaya terdapat remaja hamil yang dilapor telah bernikah walaupun berusia dibawah 18 tahun.
Katanya, kepelbagai adat yang terdapat di Sarawak mendorong sesetengah kaum mengahwinkan remaja walaupun belum mencapai usia 18 tahun.
“Mungkin di Sarawak atau mana-mana tempat di Malaysia ini, remaja ini telah berkahwin sewaktu berumur di bawah 18 tahun.
“Mungkin yang sudah berkahwin ini, angka ini dimasukkan sebagai angka kes remaja yang melahirkan anak dalam umur yang begitu muda sekali
“Kita ada adat dan budaya yang memang membenarkan remaja (di bawah 18 tahun) berkahwin di beberapa kawasan pendalaman,” katanya
Nancy berkata demikian dalam ucapan perasmian program Forum Advokasi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) edisi Ibu Bapa peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Auditorium Yayasan Sarawak pada Ahad.
Untuk rekod, negeri Kedah dan Selangor telah meminda had umur kebenaran untuk berkahwin dikalangan remaja kepada 18 tahun namun Sarawak masih belum menetapkan had umur bagi remaja yang ingin berkahwin
Dalam pada itu Nancy mendedahkan beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai punca kepada tahap kesihatan reproduktif rendah dalam kalangan remaja sekolah sekali gus menyebabkan ada remaja melakukan hubungan seks bebas dan terdapat kes yang mengandung seawal usia 13 tahun.
Katanya, pendidikan seks masih dianggap asing di negara ini walaupun ia diperkenalkan bertujuan untuk mengelakkan gejala sosial dan hamil di luar nikah.
“Saya difahamkan di sekolah ada pendidikan yang berkaitan seks. Hendak menyebut disinipun sukar namun pendidikan itu menjurus ke aras itu dan itulah yang harus difahami oleh ibu bapa dan juga kanak-kanak.(mengenai pendidikan seks)
“Saya juga difahamkan didalam buku teks sekolah terdapat empat muka surat yang menyentuh mengenainya (pendidikan seks) namun ada dalam kalangan guru yang tidak mahu menyentuh mengenai perkara itu, mungkin kerana malu
“Namun begitu pendidikan itu tidak seharusnya dilihat sebagai unsur taboo dan ibu bapa juga perlu mempelajari bagaimana untuk menerangkan kepada anak-anak,” katanya.
Hadir sama di program tersebut, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato Sri Rohani Abdul Karim, Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Syukur Abdullah dan wakil dari Penolong wakil United Nations Populations Fund (UNFPA) Malaysia, Tengku Aira Tengku Razif. -TVS