GEDONG, 10 Nov: Pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berpotensi untuk mendapat pengiktirafan dunia jika mereka berpandangan jauh, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mencontohi usaha yang diketengahkan Sarawak ketika ini terutama dalam bidang tenaga hijau yang mendapat perhatian dunia, beliau berkata, pemimpin PBB juga boleh diiktiraf sedemikian.
“Minggu lepas saya berada di Abu Dhabi untuk menjadi ahli panel mengenai tenaga hijau. Selesai majlis itu, saya ditemuramah oleh media tersohor di Jepun mengenai Sarawak.
“Ketika itu saya terbayang, kalau dulu kita (Sarawak) tidak dipandang dan disoal diperingkag global, namun kini, Sarawak berada di radar dunia. (Dan) apa yang hendak saya ketengahkan di sini ialah, kalau begini keadaan dunia melihat kita (Sarawak) sebagai permainan penting Asia, maka kualiti pemimpin kita hendaklah seimbang dan PBB mampu diiktiraf sebagai pemimpin yang selari dengan apa yang berlaku seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perhimpunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Negeri di sini, hari ini.
Katanya, untuk merealisasikan sasaran tersebut, pemuda PBB perlu memulakan langkah awal dengan melihat landskap ekonomi yang diperlukan ketika ini.
“Landskap ekonomi akan berubah, selain itu pekerjaan juga akan berubah dan sumber yang kita ada hendaklah digabung dengan teknologi baharu yang ada maka barulah orang mengiktiraf kita dan pendapatan kita akan meningkat,” katanya. -TVS