KUCHING, 10 Nov: Satu pelan tindakan berkaitan industri penjagaan yang melibatkan warga emas, kanak-kanak dan golongan orang kelainan upaya (OKU) sedang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, industri tersebut perlu dibangunkan di Malaysia memandangkan negara akan menjadi negara menua apabila 15.3 peratus atau kira-kira 5.8 juta penduduk mencapai usia 60 tahun dan ke atas.
Menurutnya, persiapan tersebut penting dalam memastikan penjagaan kualiti dalam kalangan golongan tersebut sama seperti yang dilakukan negara maju.
“Mengambil contoh dari negara Australia, industri penjagaannya telah memasuki fasa matang. Perjalanan mereka bermula dengan kempen pemahaman dalam kalangan masyarakat untuk memahami dan seterusnya menceburi bidang ini secara aktif.
“Bagi mengalakkan masyarakat dalam industri ini, pelbagai promosi dan jerayawara sedang dilaksanakan
“Usaha ini penting untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat (terhadap industri penjagaan),” katanya.
Nancy berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Promosi dan Advokasi, Industri Penjagaan dalam konteks JKM sebagai badan peneraju sektor penjagaan dan perkhidmatan komuniti yang berlangsung di Auditorium Bangunan Sultan Iskandar yang berlangsung pada Ahad.
Menurutnya, sebelum ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan tiga siri jerayawara bertujuan untuk mempromosikan Industri Penjagaan
Ia meliputi Zon Tengah yang melibatkan negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Zon Selatan yang melibatkan Negeri Sembilan dan Melaka dan Zon Utara melibatkan Negeri Kedah dan Pulau Pinang.
Program yang berlangsung petang tadi menyaksikan 250 peserta yang terdiri dari kakitangan JKM, pengusaha dan pengasuh Pusat Jagaan Kanak-Kanak OKU, Warga Emas dan Sukarelawan hadir
Hadir sama Pengarah Bahagian Pembangunan dan Perancangan mewakili Ketua Pengarah JKM, Arfan Sulaiman dan Pengarah JKM Sarawak, Semawi Mohamad-TVS