KUALA LUMPUR, 10 Nov: Lebih 3,000 penonton dijangka menghadiri konsert amal kasih Earth, Wind & Fire Experience anjuran Badan Amal Kasih Sayang (BAKASA) pada 12 November ini di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Yang Dipertua BAKASA, Tun Putera Muhammad Abu Bakar Dato Munir berkata konsert ini akan menampilkan pemenang Anugerah Grammy sebanyak enam kali dan pemain gitar kumpulan legenda, Earth, Wind & Fire, Al McKay.
Jelas beliau, konsert dianjur dengan kerjasama Miles Entertainment itu bertujuan mengumpul dana buat anak-anak asnaf rumah kebajikan naungan BAKASA iaitu Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Afzan (RUKTAA).
“Konsert akan dijalankan selama 1 jam 30 minit bermula 8.30 pagi hingga 10 malam.
“Senarai set lagu yang akan dibawa pada konsert itu adalah lagu-lagu ikonik kumpulan itu seperti September dan Boogie Wonderland,” katanya kepada TVS.
Tambahnya, antara tetamu kehormat dijangka hadir ialah Penasihat Diraja BAKASA, Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.
Sementara itu, Abu Bakar berkata pihaknya menyasar untuk mengumpul dana berjumlah RM500,000 yang akan dimanfaatkan untuk membeli keperluan asas anak-anak asnaf di rumah kebajikan itu.
“Dana yang dikumpul ini juga adalah untuk tempoh setahun sehingga setahun setenggah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membeli tiket dan menghadiri konsert amal Earth, Wind & Fire Experience boleh melayari laman sesawang milestone-entertainment.com atau hubungi pegawai bertugas, 011-27471671 di aplikasi Whatsapp. -TVS