KUCHING, 10 Nov: Kementerian Komunikasi mengesahkan inisiatif projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Satu di Kampung Sungai Aur di sini sudah mula beroperasi sepenuhnya sejak September 2024 yang lalu.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, projek JENDELA Fasa Satu di kampung tersebut kini sudah siap 100 peratus dan pihaknya berpuas hati terhadap kerja yang dijalankan oleh pihak U Mobile selaku kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek menara JENDELA ini.
“Daripada keseluruhan 636 menara JENDELA Fasa 1 yang telah diperuntukkan untuk Sarawak, U Mobile telah berjaya menyiapkan sejumlah 78 daripada 81 menara yang telah dianugerahkan kepada pihak mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pengoperasian menara telekomunikasi JENDELA Fasa Satu di Kampung Sungai Aur di Kuching pada Ahad.
Fahmi yakin dengan pengoperasian sepenuhnya menara telekomunikasi JENDELA Fasa Satu di Kampung Sungai Aur itu kelak, seramai 250 penduduk kampung di sekitar kawasan tersebut akan memperoleh manfaat liputan serta akses kepada liputan Internet berkelajuan tinggi melebihi 200 Megabit Sesaat (Mbps) mengikut ujian kelajuan yang telah dilaksanakan.
Fahmi berkata, kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi untuk memastikan kelancaran serta kejayaan pelaksanaan projek JENDELA ini selain projek menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) yang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
“Setakat ini, 325 daripada 600 menara SMART telah siap dan beroperasi dalam tempoh lebih kurang setahun setelah dimuktamadkan perjanjian komersial di antara syarikat-syarikat telekomunikasi,” ujarnya.
“Saya berharap dengan dana sebanyak RM42 juta yang disediakan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi pengoperasian menara-menara ini, lebih banyak menara akan disiapkan dan rakyat akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini nanti,” ujarnya.
Fahmi menambah, menjelang pertengahan tahun 2025, projek rintis melibatkan satelit orbit rendah bumi yang digunakan untuk teknologi terus ke peranti untuk membolehkan satelit terus berhubung ke telefon pintar milik pengguna, tanpa memerlukan sebarang perkakasan tambahan.
Ini sekali gus membolehkan satelit beroperasi seolah-olah menara telekomunikasi Dan penggunaan ini akan menawarkan liputan 100 peratus memandangkan kawasan yang sukar dicapai diliputi dengan capaian berasaskan satelit ini.
Untuk rekod, inisiatif JENDELA dilancarkan pada September 2020 bagi mewujudkan sambungan digital yang stabil, mantap serta mampu milik, selain liputan jalur lebar berkualiti dan pada yang sama menyediakan akses Internet kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara.
Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.-TVS