KUCHING, 10 Nov: Hubungan Kerajaan Pusat dan Sarawak berada dalam keadaan baik serta terus diperkukuh di bawah Kerajaan Perpaduan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata hubungan tersebut dapat dibuktikan daripada jumlah tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah diselesaikan semapanjang dua tahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, bagi baki perkara yang masih dalam perbincangan, ia sedang diuruskan sebaiknya untuk manfaat bersama.
“Hubungan di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sangat baik dan ia cukup terserlah dari hubungan erat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Jadi kita mahu perkara-perkara yang masih dalam perbincangan diuruskan dengan baik dan dengan tertib maka akhirnya keadilan dapat ditegakkan bukan hanya untuk warga Sarawak tapi juga untuk Malaysia umumnya,” jelasnya.
Beliau berkata demilian ketika ditemui selepas sesi Permukinan Komuniti Madani Malaysia Sarawak di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di Kuching pada Sabtu.
Seramai 246 ahli komuniti Madani dari seluruh Sarawak telah hadir untuk sesi Permukinan Komuniti Madani Malaysia Sarawak.
Sesi tersebut telah memfokuskan kepada Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini terutama dalam aspek meningkatkan pemahaman berkaitan agihan bajet yang dibentangkan. -TVS